AHMAD YAKOB

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob itu telah dihadiri oleh kesemua barisan Exco termasuk Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Nazran Mohammad.

Ahmad berkata, beliau amat menghargai segala kerjasama yang diberikan semua pihak termasuk pegawai dan kakitangan kerajaan yang membantunya dalam memimpin pentadbiran negeri sepanjang lima tahun ini.

“Terima kasih juga kepada semua rakyat Kelantan yang te­lah memberi mandat dan kepercayaan kepada kerajaan negeri yang memerintah sehingga ke hari ini,” katanya selepas me­syuarat Exco di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan pula berkata, kerajaan negeri akan meneruskan pemberian sumbangan kepada pelajar yang mencatat keputusan cemerlang dalam tiga peperiksaan utama tahun lalu.

Mohamed Fadzli berkata, sebagaimana tahun sebelum ini, setiap pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM); Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) akan menerima RM500 seorang jika memenuhi syarat.

“Syarat-syarat adalah seperti berikut iaitu 9A ke atas bagi SPM, pangkat Mumtaz bagi STAM dan 4 Prinsipal A ke atas bagi STPM.

“Setiap pelajar yang meme­nuhi syarat boleh mengambil borang permohonan di pejabat Yayasan Islam Kelantan (YIK) mulai Ahad ini,” katanya.