Tidak banyak yang diketahui mengenai negara bekas jajahan Pe­rancis itu. Ini mungkin kerana kerajaannya yang mengamalkan dasar tutup pintu suatu ketika dahulu.

Negara itu dihuni kira-kira 7 juta orang. Majoriti penduduknya dari etnik Lao dan beragama Buddha. Laos adalah negara yang mem­pu­nyai penduduk beragama Islam pa­ling sedikit berbanding negara lain di rantau Asia Tenggara iaitu kira-kira satu peratus.

Justeru, Skuad Jelajah 4x4 RTM Kelantan mengambil kesempatan mengadakan Kembara Jalinan Kasih Aidiladha untuk melihat sendiri kehidupan masyarakat minoriti tersebut di­samping menunaikan ibadah korban dan menyambut Hari Raya Aidiladha bersama-sama pada September lalu.

Jelajah yang bermula dari ibu negeri Kelantan itu merentasi tiga negara melibatkan perjalanan sejauh kira-kira 5,000 kilometer untuk tiba di ibu negara Laos, Viantiane.

Yang Dipertua Skuad 4x 4, Awang Su @ Shaari Haron berkata, lazimnya umat Islam Malaysia hanya menyebut mengenai kesengsaraan hidup saudara seagamanya di Kemboja dan Myanmar namun pada kali ini pihaknya meneroka keadaan umat Islam di Laos.

“Kita selalu mendengar mengenai Melayu Champa di Kemboja dan Rohingya di Myanmar, semuanya beragama Islam tetapi kita tidak pernah tahu kehidupan masyarakat Islam di Laos.

“Kerana itu kami ke sana biarpun sedar perjalanan untuk tiba di Viantiane bukan satu perkara yang mudah, menguji ketahanan fizikal dan minda,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Katanya, jelajah ini mengeratkan hubungan silaturahim di antara umat Islam di negara ini dengan Laos khususnya Viantiane.

Ujarnya, di Viantiane terdapat kira-kira 300,000 umat Islam dan hanya ada dua masjid iaitu Masjid Jami dan Masjid Azhar.

“Kebanyakan umat Islam ini adalah peniaga, kehidupan mereka lebih baik berbanding umat Islam di Vietnam dan Myanmar.

“Masjid Azhar yang kami kunjungi untuk menyambut Hari Raya Aidiladha dan menjalankan ibadah korban ini dibina oleh masyarakat Melayu Champa yang berhijrah ketika rejim Polpot suatu ketika dahulu,” katanya.

Rombongan dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu disertai seramai 20 orang dan diketuai Pengarah Penyiaran Kelantan, Zulkipli Salleh dengan menggunakan pacuan empat roda jenis Isuzu.

Perjalanan yang bermula dari bandar ini pada 20 September lalu melalui Golok sehingga ke Yala diiringi kira-kira 100 pacuan empat roda.

Di Yala, skuad tersebut disambut oleh Setiausaha Pusat Pentadbiran Wilayah Selatan Thailand, Panu Uthairat dan Pengarah Pusat Wilayah Tengah, Patimoh Sadi­yamu.

Selepas bermalam di Yala, kumpulan besar itu berpecah, enam kenderaan pacuan empat roda kemudiannya meneruskan perjalanan sehingga ke Kuen Khan dan bandar sempadan Thailand-Laos, Nongkhai serta tiba di Masjid Azhar, Viantiane kira-kira pukul 7 malam pada 23 September lalu.

Rombongan tersebut diberikan sambutan meriah oleh penduduk setempat. Selepas solat sunat Aidiladha pada keesokan harinya, sebanyak 13 lembu sumbangan masyarakat Islam Singapura dan Malaysia dikorbankan. Daging lembu itu diagihkan manakala sebahagian lagi dijadikan menu untuk kenduri bersama masyarakat setempat.

Sementara itu, bekas imam Masjid Azhar, Yahya Ishak berkata, dia mula membina masjid tersebut pada tahun 1986 dengan kos sebanyak RM20,000 sumbangan daripada masyarakat tempatan, individu dari Malaysia dan Indonesia.

“Saya berhijrah ke Laos pada tahun 1975. Saya nekad untuk berhijrah ke sini daripada kampung halaman di Vietnam apabila hanya membeli tiket pergi ke Vienatiane sahaja.

“Di sini saya mula menapak, menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dan berkahwin dengan seorang gadis berketurunan Pakistan.

“Ketika itu, terdapat kira-kira 86 keluarga di kawasan daerah Chantabouly. Saya berpendapat perlu ada masjid di kawasan ini bagi menghimpunkan masyarakat Islam dan daripada itu saya mula sedikit demi sedikit membina masjid ini,” kata­nya yang fasih berbahasa Melayu.

Beliau yang berketurunan Me­layu Champa berkata, masyarakat Islam di sini hidup dengan rukun bersama-sama dengan penduduk yang berlainan agama tanpa ada sebarang diskriminasi.

“Saya bersyukur kerana me­nerima kunjungan daripada saudara-saudara Islam dari Malaysia.

“Kami di sini kekurangan pendakwah. Kami berhajat untuk mengambil golongan agama dari Malaysia untuk menjadi imam di masjid ini dan membimbing masyarakat Islam di sini,” katanya.

Tambah Yahya, pihaknya akan menanggung semua perbelanjaan imam dari Malaysia termasuk memberikan gaji secara tetap.

Sementara itu, seorang peserta wanita, Nur Zaimah Suria 28, berkata, perjalanan kembara itu meninggalkan kesan mendalam kepada dirinya.

“Masa sepanjang program mampu membentuk diri untuk berpandangan positif dalam kehidupan pada masa hadapan,” katanya.