Menerusi perkongsian bestari seperti pertukaran pendapat, program, modul, aktiviti dan sebagai­nya sedikit sebanyak akan membantu meningkatkan kualiti pendidikan Orang Asli dan masyarakat pedalaman yang masih ketinggalan.

Sehubungan itu, langkah yang diambil oleh Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra (SMSTMFP) menerusi pelaksa­naan Program Kecemerlangan Pendidikan Sekolah Rendah (SR) Orang Asli dan Sekolah Kebangsaan (SK) adalah satu bentuk perkongsian yang wajar dicontohi.

Dengan hanya berbekalkan tenaga pengajar yang terdiri daripada guru serta pelajar-pelajar selaku fasilitator, SMSTMFP memberi sepenuh komitmen dalam membimbing serta memberi tunjuk ajar kepada murid Orang Asli terutamanya untuk mereka yang bakal menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) nanti.

Penyelaras Program, Aris Pazilah Harun berkata, program kecemerlangan itu telah bermula sejak 2007 membabitkan beberapa sekolah rendah Orang Asli yang dijadikan sebagai sekolah angkat.

Menurutnya, usaha tersebut adalah cetusan idea daripada Pengetua, Mohd. Razuki Sulaiman yang amat bersemangat untuk melihat perubahan dalam akademik murid-murid Orang Asli

“Sebelum ini, kita telah memulakan program ini dengan pelaksanaan sekolah angkat iaitu akan melaksanakan beberapa siri seminar akademik mahupun motivasi untuk murid-murid di sekolah tersebut.

“Antara sekolah yang telah kita laksanakan program sekolah angkat ini adalah di Gua Musang iaitu SK Pos Brooke, SK Kuala Lah dan manakala di Jeli ialah SK Sungai Rual,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, Aris Pazilah berkata, untuk tahun ini pihak sekolah telah mempertingkatkan lagi pelaksanakan program kecemerlangan untuk jangka masa panjang bagi memberi tumpuan kepada persediaan menghadapi UPSR nanti.

“Program ini membabitkan 30 orang pelajar dari tiga buah sekolah di Gua Musang iaitu SK Pasir Linggi, SK Kuala Betis dan SK Lepan Jaya.

“Mereka ini adalah terdiri daripada murid tahun tiga, empat dan lima yang akan menghadapi UPSR. Murid-murid ini akan dibimbing dan dipantau dalam tempoh pelaksanaannya iaitu bermula pada 2015 sehingga 2018,” katanya.

Beliau berkata, untuk permulaan, mereka telah mengikuti progran motivasi belajar selama empat hari di SMSTMFP bermula pada 5 hingga 8 November lalu.

“Sepanjang empat hari berada di sini, mereka didedahkan dengan pelbagai pengetahuan termasuk akademik, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), latihan pidato dan syarahan serta sukan.

“Selain itu, mereka turut dibawa melawat Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pantai Cahaya Bulan (PCB) dan Pasar Raya Tesco untuk memberi pendedahan dunia luar supaya mereka lebih terbuka,” katanya.

Katanya, menerusi program ini juga, murid-murid bukan sahaja dibimbing oleh guru-guru malah turut dibantu oleh pelajar tingkatan dua sebagai fasilitator supaya mereka dapat merasakan pembelajaran secara santai.

Tambahnya, bermula tahun hadapan, kesemua mereka akan dibawa ke SMS Tengku Muhammad Faris Petra sebulan sekali untuk mereka mendapatkan bimbingam akademik.

“Mereka akan ditempatkan di asrama sekolah iaitu pada hari Khamis sehingga Sabtu untuk belajar. Di sekolah ini, mereka akan dipantau untuk melihat prestasi dari masa ke semasa.

“Sepanjang tempoh berkenaan, kita juga akan melaksanakan program motivasi di sekolah-sekolah yang terlibat secara bergilir-gilir,” katanya.

Dalam pada itu, Aris Pazilah berkata, pihak sekolah juga mengalu-alukan kerjasama daripada mana-mana pihak untuk turut sama membantu meningkatkan pencapaian murid-murid Orang Asli dan pedalaman dalam pendidikan.

Sementara itu, bagi murid-murid Orang Asli program tersebut memberikan dimensi baharu kepada mereka yang selama ini tinggal jauh di pedalaman dengan serba serbi kekurangan.

Seorang murid Orang Asli, Mohd. Azman Azmi, 11, berkata, dia menghargai usaha guru-guru di sekolah berprestij itu untuk mengadakan program khusus bagi membantu bakal calon-calon UPSR.

“Saya suka mengikuti program ini kerana guru-guru di sini bersemangat dalam berikan tunjuk ajar kepada saya. Selain itu, kakak dan abang fasilitator juga banyak membantu kami.

“Saya berterima kasih dan saya akan ingat jasa dan pengorbanan guru di sekolah ini kepada saya,” katanya.

Rakannya, Hasnita Awie, 11 , berkata, dia begitu seronok dapat mengikuti program ini bersama kawan-kawan baharu.

“Sebelum ini, saya tidak pernah mengikuti program seperti ini dan ini adalah kali pertama saya dapat belajar dengan cara yang berbeza.

“Di sini juga, saya mendapat ramai kawan baharu dan guru-guru juga sangat baik, sentiasa memberi tunjuk ajar. Saya berharap akan dapat menyambung belajar di sekolah hebat ini,” katanya.

Bagi Johan Samar, 10, pula berkata, program ini banyak membantunya memahami dengan lebih jelas khususnya bagi mata pelajaran Matematik.

“Program ini amat menyeronokan kerana kami dapat belajar secara berkumpulan dengan lebih santai dengan bantuan guru-guru serta fasilitator. Kami juga turut diberi pendedahan aktiviti luar,” katanya.

Johan Samar