ASYRAF WAJDI DUSUKI

Calon BN Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini termasuk usaha mengilap semula kegemilangan sekolah agama YIK yang dahulunya diasaskan oleh UMNO dan BN sebelum tahun 1990.

Menurutnya, institusi yang dibangunkan itu bertujuan menjadikan negeri ini sebagai pusat tradisi keilmuan Islam sejak zaman berzaman.

“Pada masa lalu semua negeri melihat Kelantan sebagai model selain kewujudan sistem pengajian pondok yang melahirkan ulama dan cendikiawan Islam.

“Namun apabila berlakunya perubahan pentadbiran ne­ge­ri­ kedudukan sekolah agama YIK lebih banyak dipolitikkan. Sekolah-sekolah agama menjadi ‘madrasah’ tempat yang merentasi keperluan pendidikan yang sebenar kerana lebih berasaskan kepentingan kepartian,” katanya.

Beliau berkata demikian ke­tika ditemui pemberita selepas meras­mikan Program Pemerkasaan Guru di Kompleks UMNO Uthmaniyah Pulau Lima, di sini hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, masalah yang dihadapi YIK terbukti apabila kebajikan guru yang berkhidmat lebih 20 tahun masih ditakuk lama dan bertaraf kontrak.

Menurut beliau, guru-guru yang sudah memiliki ijazah di pelbagai peringkat juga tidak dinaikkan pangkat.

“Ini sebenarnya asas kebajikan guru yang perlu diberi pembelaan sesuai dengan keperluan semasa.

“BN melihat perkembangan ini untuk cuba membantu selaras dengan agenda pembangunan Islam yang turut mencakupi kemudahan prasarana fizikal, kelengkapan pembelajaran dan kemenjadian pelajar,” katanya.

Menurutnya, semua peranca­ngan ini telah digarap dalam manifesto BN Kelantan sebagai usaha memperkasakan YIK de­ngan fokus menjaga kebajikan guru-guru setaraf dengan pendidik di sekolah harian biasa di bawah Kementerian Pelajaran.

“Janganlah terpedaya dengan kempen pilihan raya yang mendakwa Islam di negeri ini akan ranap kiranya BN kembali mentadbir Kelantan,” katanya.