Seorang penternak, Wan Razak Wan Hassan, 43, berkata, masalah itu berlarutan sejak lima tahun lalu namun serangan haiwan tersebut semakin serius sehingga hampir menutup periuk nasi para penternak di sini.

Menurutnya, walaupun sudah melakukan pelbagai ikhtiar membendung serangan memerang itu tetapi tidak berkesan sehingga menyebabkan mereka buntu memikirkan kaedah terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Lebih 300 petak ikan dalam sangkar diganggu haiwan yang dipercayai bersarang di kawasan hutan nipah seberang sungai Geting ini.

“Serangan memerang ini tidak kira masa dan haiwan itu akan berenang menyeberangi sungai kira-kira 300 meter, mengoyakkan jaring sangkar lalu masuk dalam sangkar untuk makan ikan. Tahun ini sahaja, saya sudah mengalami kerugian RM15,000 apabila benih ikan hingga ikan dewasa dimakan memerang,” katanya di sini hari ini.

Bagi Mohd. Raffie Mohammad, 35, kebanyakan sangkar ikan dipasang dawai elektrik tetapi tidak dapat menghalang serangan me­merang ini.

“Perangkap yang saya pasang tak mengena sebabnya memerang ini tidak memanjat, sebaliknya menye­rang dengan mengoyakkan sangkar yang berada dalam air sungai ini.

“Apabila sangkar koyak, memudahkan haiwan ini masuk dan memakan ikan kami dan sebahagian ikan pula ada yang terlepas keluar,” ujarnya.

Katanya, ada juga usaha penternak di sini memasang pagar dan orang-orang dipacak di sangkar bagi menakutkan memerang itu tetapi tidak berhasil juga.

Sementara itu, Mustapa Musa, 50, berkata dia berharap pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat membantu penternak di sini bagi menangkap haiwan tersebut.

“Jika keadaan ini dibiarkan boleh menyebabkan penternak di sini gulung tikar.

“Dulu di sini ada 50 penternak ikan dalam sangkar tetapi sekarang tinggal 20 orang saja yang masih bertahan, kalau masalah ini dibiarkan macam mana kami nak cari makan di sini,” jelasnya.