Mangsa, Arguel Amri, 2, yang lemah akibat sakit lelah turut mengalami muntah-muntah.

Pegawai Perhubungan Awam Pangkalan Udara JBPM Subang, Selangor, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Farhan Marzuki berkata, krew penerbangan Agusta Westland 139 berlepas dari pangkalan udara Subang pada pukul 11.45 pagi telah mendarat di Pos Gob pukul 1 petang.

Katanya, pesakit bersama ibu bapanya sebagai pengiring selamat tiba di pekarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada pukul 3 petang sebelum dihantar ke Hospital Gua Musang menggunakan kende­raan kecemasan bomba.

“Pihak kami melaksanakan operasi tersebut selepas mene­rima laporan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) tentang keadaan bayi itu.

“Pesakit dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di hospital,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Mohd. Farhan berkata, pe­ner­bangan tersebut dikenda­li­kan juruterbang, Penguasa Bomba Faridullahamin Mohd. Noh, beliau dan dibantu dua anggota lain.

“Kita komited membantu Orang Asli yang sakit dan Gua Musang mencatat rekod pa­ling banyak setakat ini apabila me­laksanakan lebih 10 penerba­ngan Medevac dalam tempoh masa lebih sebulan,” katanya.