Yang Dipertua MDPP, Mohd. Anis Hussein berkata, pihak majlis ketika ini menghadapi beberapa kekangan termasuk kekurangan lori mengangkut sampah menyebabkan berla­ku timbunan dan longgokan sampah di beberapa kawasan sejak kebelakangan ini.

Namun begitu, katanya, usa­ha untuk menangani masalah itu diselesaikan dengan melantik kontraktor swasta bagi menampung keperluan pungutan sampah mengikut jadual.

“Kita menerima rungutan dan teguran yang ditularkan oleh pengguna sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini. Tindakan drastik menyelesaikan masalah itu telah diusahakan termasuk mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mendapat pandangan dan idea yang bernas bagi menangani masalah sampah.

“Sebelum ini MDPP hanya mengurus kutipan enam hingga sembilan tan sampah tetapi jumlah itu meningkat kepada 30 tan sehari sepanjang Ramadan dan Aidilfitri, sehingga menyebabkan timbunan yang berlebihan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada perjumpaan dengan NGO di kediamannya, di sini baru-baru ini.

Mohd. Anis berkata, pihak­nya sedang berusaha membaiki jentera pengangkutan sedia ada dan bercadang untuk membeli lori khas bagi tujuan berkenaan dalam tempoh yang terdekat.

Beliau berkata, NGO juga diminta menjadi rakan kepada MDPP bagi memastikan daerah ini berkembang dengan baik dalam pelbagai perkara terma­suk aspek kebersihan dan keindahan persekitaran.

“MDPP masih memerlukan sokongan semua pihak dalam misi mencapai status majlis perbandaran. MDPP perlu diperkasakan dengan penglibatan pihak luar untuk mencapai status Maj­lis Perbandaran bermula tahun hadapan.

‘Mereka boleh memainkan peranan masing-masing terma­suk dalam melaksanakan kempen kebersihan untuk kebaikan bersama selain memberikan cadangan membina yang disalurkan menerusi saluran yang tepat,’ katanya.

Mohd. Anis berkata, isu sampah sepanjang bulan puasa dan hari raya memberi ikhtibar kepada MDPP untuk meningkatkan usaha, pendekatan lebih drastik dan kaedah lebih berkesan dalam menyelesaikan permasalahan pada masa depan.

“Kami kesal dengan sikap sebilangan warga pengguna di daerah ini yang tidak peka dengan masalah sampah ini sehingga ada yang mengalihkan tong sampah tanpa pengetahuan MDPP, membakar tong sampah dan membuang objek yang tidak dapat dimuatkan ke dalam lori sampah.

“Peniaga juga sepatutnya mengurus sampah mereka de­ngan bijaksana, mengisi sampah seperti kulit kelapa ke dalam karung, bukannya membuang begitu sahaja sehingga berselerak di kawasan tong sampah,” katanya.