AHLI Kelab Belia MAYC bersama kanak-kanak golongan asnaf dalam Program Jelajah Asnaf MAYC Care di Kota Bharu, Kelantan, kelmarin.

Pengerusi MAYC negeri, Ir. Meor Shamshir Meor Zulkifli Auni berkata, rumah tersebut mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 600 keluarga asnaf telah berdaftar setakat ini.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut sekurang-kurangnya 100 keluarga mengunjungi rumah itu pada setiap hari Jumaat bagi menceritakan keadaan kehidupan dan masalah yang dihadapi.

“Pada hari berkenaan jamuan percuma disediakan dan sesete­ngahnya mendapat sumbangan mengikut keperluan seperti beras dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pada Majlis Meraikan Rombongan MAYC Bandar Diraja Kuala Kangsar sempena Program Jelajah Asnaf MAYC Care di sini semalam.

Rombongan kelab itu diketuai oleh Shikin Aziz dan sempena program itu ahli kelab berkenaan mengadakan sukaneka, pertan­dingan melukis untuk kanak-kanak serta memasak secara gotong-royong.

Menurut Meor Shamshir, pi­haknya cuba membantu golongan tersebut biarpun ada di antara masalah yang dikemukakan oleh golongan tersebut tidak mampu diselesaikan.

“Tidak banyak penyelesai­an yang dapat dilakukan dan su­ka­relawan hanya bertindak mende­ngar keluhan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya melahirkan penghargaan terhadap pelbagai sumba­ngan yang diberikan oleh individu di seluruh negara.

“Mereka memberikan sumbangan melalui pelbagai bentuk dan kini jamuan setiap Jumaat yang dimulakan sejak tahun 2015 dibiayai menggunakan wang ter­sebut,” katanya.

Menurutnya, MAYC Kelantan membelanjakan sumbangan yang diterima untuk kebajikan golo­ngan asnaf itu dengan sebaik-baik­nya dan mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin bersama.