Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, pentadbir masjid dan surau perlu mempunyai ilmu pengurusan terutama dalam menghadapi cabaran besar membangunkan masyarakat masa kini.

Justeru, katanya, beliau sela­ku Pengasas Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) dan Pe­ngerusi Yayasan Persahabatan Ma­laysia (Permai) mengambil inisiatif menganjurkan Seminar Pengurusan Masjid dan Surau 2017 khusus untuk penggerak di Parlimen Ketereh supaya dapat belajar menjadi ahli jawatan­kuasa masjid yang lebih berkesan.

“Ini kali pertama kita adakan satu seminar melibatkan pengurusan masjid dan surau terma­suk surau sekolah sebagai usaha membudayakan konsep pe­ngurusan yang betul supaya institusi masjid dapat tingkatkan peranannya dalam masyarakat.

“Masjid sebagaimana kita tahu berasaskan kepada komuniti setempat yang mana jika tiada pendedahan yang luas mereka akan kekal buat kerja dengan cara biasa.

“Mereka perlu disuntik de­ngan idea baharu dan kreatif dengan cara mempelajari pe­ngalaman kejayaan pihak lain supaya dapat berfungsi lebih baik,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, program anjuran YKK dan Permai yang mendapat kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) itu telah disertai lebih 200 peserta khususnya dari kawasan Parlimen Ketereh.

Annuar berkata, sebagai suntikan motivasi, beliau memperuntukkan RM5,000 kepada setiap masjid dan surau yang telah menghantar wakil untuk mempraktikkan apa yang telah dipelajari di seminar itu.

Dalam pada itu, fasilitator utama seminar yang juga Yang Dipertua Persatuan Nazir, Imam, Pegawai dan Ahli Jawatankuasa Masjid/Surau Selangor (PIMPINAN), Yasim Mohamed berkata, antara perkara utama yang harus dijadikan sasaran pentadbir adalah menjadikan masjid pusat tumpuan semua lapisan masyarakat.

“Jangan berkira untuk belanjakan duit masjid membantu masyarakat sekeliling kerana yakinlah ia akan bertambah semula dari sumber yang kita tidak sangka.

“Apabila datang orang memohon bantuan kita tidak perlu jadi polis pencen menyiasat berlebihan kerana jika dia menipu sekalipun itu urusannya dengan Allah,’’ ujarnya.