Baharin Yusof
BAHARIN YUSOF

Imam Tua masjid itu, Baharin Yusof berkata, fokus terhadap kebersihan dan keindahan diberikan keutamaan kerana masjid tersebut menjadi tumpuan umum pengunjung bandar ini dan Pantai Irama.

Menurutnya, landskap masjid itu hanya dihiasi dengan pokok puding dan kurma yang sesuai dengan cuaca sekitarnya yang panas kerana berdekatan dengan pantai.

“Alhamdulillah banyak program yang dilangsungkan di mas­jid menggamit kehadiran masyarakat untuk mengimarah dan memakmurkan masjid,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Baharin berkata, program terbaru awal tahun ini ialah solat Jumaat bersama Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra untuk majlis penyampaian zakat kepada asnaf serta jamuan rak­yat.

Sepanjang tahun lalu, katanya, pihak masjid bekerjasama de­ngan agensi kerajaan khususnya Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) daerah bagi program qiamullail dan motivasi penagih dadah dalam rawatan di luar pengawasan.

“Kita memberi kesedaran kepada mereka (penagih) dari aspek keagamaan yang boleh dijadikan penawar mustajab untuk meninggalkan gaya hidup buruk najis dadah.

“Interaksi ahli kariah masjid juga amat positif agar kumpulan masyarakat yang bermasalah ini tidak tersisih sebaliknya diberikan nasihat dan bimbingan yang sewajarnya,” katanya.

Menurutnya, ruang pengajian agama dan al-Quran di masjid sentiasa terbuka luas dengan kuliah maghrib yang diadakan sementara menunggu masuknya waktu solat isyak.

“Kita juga berusaha menjadikan masjid sebagai pusat in-situ dalam melebarkan perkhidmatan kepada pengunjung yang singgah beribadat.

“Kerusi urut yang mencukupi turut disediakan selain jualan pelbagai jenis air minuman tidak berkarbonat,” katanya.