Pengerusi Jawatankuasa Pem­­bangunan Islam Jajahan Pasir Puteh, Mohd. Anis Hussein berkata, program itu dibia­yai menerusi wang sumbangan orang ramai kepada tabung masjid dan ia wajar dicontohi pihak pengurusan masjid-masjid lain.

Menurutnya, program yang mengambil masa kira-kira 10 bulan itu dikendalikan penyelaras, Muhammad Hasan Ahmad yang dibantu empat tenaga pengajar iaitu Ibrahim Ismail, Exuddin Ismail, Ahmad Zulfarid Azizi Zulkifli dan Wan Husnul Amalin Wan Muhammad.

“Masjid dijadikan ruang pembelajaran kepada peserta yang terdiri daripada guru sekolah, guru agama, imam dan orang ramai yang berminat menyertai kelas dua jam setiap hari.

“Pengajian ini percuma dan segala kos pengurusannya ditanggung sepenuhnya oleh pe­ngurusan masjid iaitu kira kira RM15,000 terutama bagi pembayaran sagu hati kepada tenaga pengajar,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis penyampaian sijil khatam program Tahsinul Quran Bersanad di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh, di sini baru-baru ini.

Mohd. Anis yang juga Ketua Jajahan Pasir Puteh berkata, 11 huffaz terdiri daripada seorang wanita dan 10 lelaki diharap dapat memanjangkan ilmu ma­sing-masing terutama bagi membantu mereka yang berminat membetulkan bacaan al-Quran.

“Manakala yang belum khatam akan meneruskan pe­ngajian mereka sehingga berjaya. Peserta yang terlibat mengikuti pengajian al-Quran secara profesional dan bukan di peringkat awal pembelajaran,” katanya.

Katanya, program itu juga akan dijadikan sebagai program tahun masjid dengan fasa kedua­nya bermula awal Mac depan.

Mohd. Anis berkata, tujuan utama program tersebut ialah melahirkan generasi celik al-Quran dan membangunkan le­bih ramai tenaga pengajar dalam bidang pembacaan al-Quran.