Masjid yang terletak betul-betul di tepi jalan itu dibina atas tapak masjid lama seluas kira-kira 600 meter persegi siap dalam tempoh lapan bulan.

Menurut Pengerusi Jawatan­kuasa masjid itu, Mohd. Alwi Mo­hd. Zain, apa yang lebih membanggakan, kos pembinaan masjid tersebut sebanyak RM1.2 juta merupakan sumbangan sepenuhnya daripada orang ramai.

“Masjid lama dibina sekitar tahun 1930-an. Tapaknya dahulu dibeli oleh arwah datuk, saya Wan Yusoff Ismail daripada seorang pemilik yang juga bernama Yusof dengan harga RM30 sahaja. Yusof kemudiannya menyedekahkan semula RM15 kepada tabung masjid.

“Dahulu namanya 'Balaisah Kampung Bayan' kerana mengikut sejarah kampung ini ada sekumpulan burung bayan entah dari mana singgah lebih sebulan mencari makan di padang kampung ini.

“Setelah lebih 80 tahun, masjid ini melalui beberapa fasa daripada bangunan kayu kepada separa batu pada tahun 1980-an selain mendapat gelaran 'Masjid Hijau' dari dahulu lagi kerana warna cat,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Mohd. Alwi memberitahu, pi­hak jawatankuasa masjid mula merancang membina bangunan baharu sejak beberapa tahun lalu dan projek itu berjaya dimulakan pada April 2015 sebelum siap pada Disember tahun sama.

Katanya, bangunan asal dirobohkan memandangkan ia ha­nya boleh memuatkan sekitar 100 jemaah sahaja sekali gus tidak mampu menampung jumlah jemaah yang semakin bertambah terutama semasa solat tarawih dan hari raya.

Beliau berkata, masjid baharu yang kini boleh memuatkan lebih 300 jemaah dalam satu-satu masa mempunyai kemudahan ruang solat berhawa dingin, bilik mesyuarat dan kelas al-Quran.

“Kita sangat terharu kerana dengan hanya menggantung satu sepanduk di luar masjid lama, duit derma masuk mencurah sama ada ke dalam tabung ataupun akaun bank masjid.

“Malah semasa kita buat jamuan laksa untuk mengutip derma, sebanyak RM40,000 wang tunai berjaya dikutip dalam tempoh beberapa jam sahaja.

“Selain itu, kita juga mendapat bekalan bahan binaan percuma, penghasilan pelan dan rekabentuk percuma dan upah buruh binaan juga percuma,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan menambah lagi ruangan solat wanita dan tempat meletak kenderaan di tanah belakang masjid yang sudah diwakafkan seorang penderma.

Katanya, pembinaan yang dijangka menelan belanja RM300,000 itu akan bermula selepas Hari Raya Aidilfitri ini.

Prang ramai yang ingin menyumbang boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Masjid Hijau As Saadah 03020001119713 (Bank Muamalat) dan 03018010161647 (Bank Islam Malaysia Berhad).