Antara aktiviti yang diisi sepanjang program tersebut ialah ramah mesra bersama pengamal media, jamuan serta majlis doa selamat selain operasi melupuskan dua bot nelayan asing yang dilucut hak kerana menceroboh perairan negara.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kapten Nurul Hizam Zakaria berkata, tema Hari Kebangsaan 2017 iaitu Negaraku Sehati Sejiwa tepat bagi menggambarkan hubungan mesra dan kerjasama erat pihaknya dengan para pengamal media di negeri ini.

“Selain pengamal media, hu­bungan baik turut terjalin antara pihaknya dengan masyarakat setempat yang selama ini sentiasa memberi kerjasama baik terma­suk menjadi mata dan telinga kepada Maritim Malaysia Kelantan.

“Kita sambut ambang kemer­dekaan ini secara sederhana selain membawa mesej Maritim Malaysia dan seluruh rakyat Malaysia akan mempertahankan kedaulatan negara dan tidak akan sekali-kali membiarkan perairan kita diceroboh,” katanya.

Hadir sama memeriahkan maj­lis, Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Datuk Mohd. Taha Ibrahim dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Kelantan, Hamzah Mohamad.

Dalam pada itu, Nurul Hizam berkata, program komuniti Maritim Malaysia bersama masyarakat nelayan di negeri ini merupakan acara wajib diadakan setiap tahun.

Kata beliau, program itu merupakan sebahagian usaha pihak­nya mengukuhkan ukhuwah dan kerjasama dua hala.