Pengerusi Jawatankuasa Per­industrian, Perdagangan, Pela­buran dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hanifa Ahmad ber­kata, hubungan antara agensi Kerajaan Pakatan Harapan de­ngan kerajaan negeri kini sema­kin baik berbanding semasa pentadbiran kerajaan terdahulu.

Beliau berkata, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob sendiri selepas pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini mengarahkan semua Exco dan pegawai berkaitan peringkat negeri berhubung rapat dengan Menteri di peringkat Pusat.

“Kita yakin hubungan itu dapat kita buat dan dengan adanya semangat Malaysia Baharu ia akan jadi lebih baik.

“Kita sudah dapat lihat sekarang pegawai-pegawai kementerian makin rapat, kalau dahulu mereka takut untuk mendekati kita tetapi sekarang ini tidak ada masalah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-43 Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) negeri di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri negeri, Nik Mohd. Fahim Muhaimin dan Yang Dipertua DPMM negeri, Mohd. Ali Amin Ab. Latif.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas peluang pelaburan masuk ke negeri ini dengan ketiadaan wakil menteri dari Kelantan khususnya dalam portfolio perdagangan.

Dalam pada itu, Hanifa berkata, kerajaan negeri akan menumpukan kepada pelaburan dalam sektor pembuatan terutamanya perabot dan ‘semi-product’ yang dijangka boleh menambah hasil negeri dari 20 peratus hingga 30 peratus iaitu dari sekitar RM600 juta kepada RM720 juta setahun.

“Kita mempunyai lebihan ka­yu yang banyak yang boleh kita gunakan sepenuhnya supaya kita dapat buat perabot untuk eksport dan juga pembuatan bahan semi-product seperti palet besi.

“Kita tidak mahu lagi semata-mata menjadi pengeksport bahan mentah atau mineral kerana kita mahu mewujudkan peluang pekerjaan lebih besar kepada rakyat me­lalui pembukaan kilang-kilang.

“Saya telah pun turun melihat kemampuan kawasan industri di negeri ini dan kita memang ada ruang untuk tambah baik kemudahan tetapi perlukan bantuan sama ada melalui MITI ataupun Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), saya akan berjumpa dengan Menteri untuk berbincang peruntukan yang diperlukan,” katanya.

Hanifa memberitahu, pihak­nya akan ke Beijing, China minggu hadapan bagi menandatangani memorandum persefahaman dengan peniaga di sana sebagai langkah menarik pelaburan sektor tersebut.