Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, majalah bertulisan jawi yang diterbitkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) itu adalah yang tertua di Asia Tenggara dan kelestariannya mesti diteruskan.
 
 Menurutnya, beliau yakin cendekiawan dalam pelbagai bidang bersedia menghantar artikel untuk diterbitkan dalam majalah Pengasuh sama ada dalam Bahasa Arab, Inggeris dan sebagainya.

 "Saya berseru kepada para cendekiawan Islam zaman ini agar bukan sahaja memiliki kemahiran bersyarah namun perlu juga kepada wadah penulisan.
 
 "Saya sarankan juga kepada pihak Maik agar isu-isu yang dikeluarkan dalam majalah Pengasuh lebih berfokus dan dinamik mengikut perubahan arus perdana," katanya semasa berucap merasmikan Seminar Satu Abad Penerbitan Majalah Pengasuh di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji di sini hari ini.

 Pada majlis itu juga, beliau turut melancarkan buku '100 Tahun Majalah Pengasuh : Peranan dan Sumbangan' yang diterbitkan Maik.

 Yang turut hadir, Mufti Kelantan, Datuk Mohammad Shukri Mohammad dan Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr Nik Mohd Mohd Azlan Abd Hadi. - UTUSAN ONLINE