Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz dalam titah ucapannya berkata, jumlah kutipan itu meningkat kira-kira RM17 juta berban­ding pada 2016 iaitu sebanyak RM162.67 juta.

“Peningkatan jumlah itu juga didorong oleh pertambahan jumlah pembayar zakat iaitu seramai 62,151 orang pada 2017 berbanding 57,744 orang (2016).

“Walaupun keadaan ekonomi mencabar tahun lalu, namun dengan pelbagai usaha yang te­lah dilaksanakan oleh Maik, mereka berjaya memberi keya­kinan kepada setiap pembayar zakat di negeri ini.

“Buktinya, zakat pendapatan paling banyak menyum­bang kepada hasil kutipan zakat tahun lalu iaitu seba­nyak RM107.06 juta berban­ding zakat lain seperti simpanan dan perniagaan.

“Malah, kita juga telah mem­belanjakan sebanyak RM185.03 juta bagi projek pembangunan serta golongan asnaf seperti fakir miskin pada tahun lalu berbanding RM171.95 juta (2016),” titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Ramah Mesra Maik bersama Rakan Media 2018 di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad dan Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr. Nik Mohd. Azlan Abd. Hadi.

Menurut Tengku Muhammad Rizam, kejayaan itu juga dicapai hasil usaha peranan pihak media dalam menyebarkan maklumat berkaitan pembayaran zakat di negeri ini.

“Peranan media juga sangat besar dalam membantu menyebarkan maklumat tentang pe­ranan Maik dalam usaha membantu umat Islam khususnya golongan asnaf di negeri ini.

“Di samping itu, Maik juga perlu berjalan seiring dengan perkembangan teknologi semasa dalam usaha menyalurkan segala maklumat kepada masyarakat.

“Malah, anda (Maik) perlu melunaskan tanggungjawab le­bih berat selepas pembayar zakat menunaikan tanggungjawab mereka,” jelasnya.