Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr. Nik Mohd. Azlan Abd. Hadi berkata, berdasarkan peningkatan jumlah kutipan zakat sehingga 7 November lalu membuktikan sasaran kutipan zakat tahun ini dijangka mencapai sasaran RM166 juta.

Menurutnya, sehingga kini kutipan zakat diperoleh Maik mencecah RM129.7 juta berban­ding RM128.3 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu dan jumlah itu menyaksikan peningkatan sebanyak RM1.3 juta atau 1.07 peratus.

“Berdasarkan perkembangan ini, kita optimis sasaran kutipan zakat sebanyak RM166 juta oleh Maik sepanjang tahun ini mampu dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan zakat perniagaan oleh Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebanyak RM11,867,200 kepada Maik di Istana Kota Lama di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut Pemang­ku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra yang juga merupakan Yang Dipertua Maik berkenan menerima zakat tersebut yang disampaikan oleh Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Yang turut hadir, Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr. Nik Mohd. Azlan Abd. Hadi dan Ketua Operasi Kumpulan PNB, Datuk Idris Kechot.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, pembayaran zakat perniagaan oleh Kumpulan PNB dikira mengikut 'haul' serta 'nisab' yang sudah ditetapkan dan tidak meliputi agihan pendapatan untuk pemegang akaun unit Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

“Pemegang akaun dinasihatkan melunaskan sendiri zakat bagi pelaburan dalam setiap unit amanah yang berkenaan,” kata­nya.