NIK MOHD AZLAN ABD HADI
NIK MOHD AZLAN ABD HADI

Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi berkata, pihak Maik hanya menyalurkan wang zakat untuk pembinaan rumah kekal manakala urusan selanjutnya termasuk pemilihan pemohon dilaksanakan oleh Pejabat Tanah dan Jajahan.


Beliau berkata, sebanyak 189 rumah kekal bernilai antara RM38,000 hingga RM40,000 setiap satu dibina di daerah Gua Musang dan Kuala Krai menggunakan peruntukan daripada Maik.


“Sebanyak 129 unit dibina di Gua Musang melibatkan Kampung Limau Kasturi (41); Simpang Pulai (38) dan Tanah Puteh (50) manakala 60 buah lagi di Kampung Telekong, Kuala Krai.


“Sebahagian daripada rumah ini masih lagi dalam pembinaan namun kita jangka semua mangsa banjir akan dapat memasuki rumah mereka menjelang awal Julai ini.


“Semua pihak tidak kira Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri malah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam pembinaan rumah kekal dan serius membantu mangsa banjir,” katanya.


Nik Mohd Azlan berkata demikian kepada pemberita di majlis penyerahan zakat perniagaan daripada Maybank Islamic Berhad sebanyak RM967,898.16 di sini hari ini.


Beliau diminta mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini mengenai 15 buah keluarga mangsa bah kuning yang masih lagi berada di pusat pemindahan sementara di kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani di Gua Musang selepas rumah kekal yang dijanjikan kepada mereka masih lagi belum siap. - UTUSAN ONLINE