Fikhran Hamshi Mohd. Fatmi

Ketua Gerakan Tekad Kelantan, Fikhran Hamshi Mohd. Fatmi berkata, Jelajah Orang Muda Kongsi Rasa merupakan program bual bi­cara santai di lokasi terbuka tumpuan ramai yang bermula awal tahun ini.

Menurut beliau, pentas program berkenaan adalah terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin bercakap dan menyuarakan isi hati mereka tanpa mengira latar belakang.

“Pihak kami menyasarkan untuk menganjurkan program ini di kesemua 33 pusat daerah mengundi (PDM) yang ada di kawasan Parlimen Kota Bharu sehingga Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berlangsung.

“Setakat ini, sudah tiga PDM telah dilawati dan sambutannya cukup positif kerana wakil orang muda di setiap lokasi berkenaan sememangnya me­nunggu peluang sebegini untuk menyuarakan pendapat,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Fikhran Hamshi membe­ritahu, dalam tiga siri jelajah tersebut setakat ini, beliau mendapati terdapat tiga isu utama yang se­ring dibangkitkan golongan muda.

Katanya, isu-isu tersebut adalah peluang pekerjaan yang terhad di Kelantan sehingga golongan belia terpaksa berhijrah ke luar dari negeri ini dan isu berkaitan perumahan khusus untuk belia yang tidak begitu diberi perhatian kerajaan ne­geri.

“Turut kerap disuarakan adalah hal-hal berkaitan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dikatakan gagal menjalankan tugas terutama aspek kebersihan dan penyelenggaran infrastruktur di sekitar Kota Bharu,” katanya.