Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN), Datuk Mariam Mas Yacob berkata, data yang dikemukakan Kementerian Kesihatan mendapati seramai 4.2 juta rakyat Malaysia mengalami masalah mental.

Menurutnya, bagi tempoh 2014 hingga 2016, masalah mental telah menyumbang kepada sebanyak 1,234 kes bunuh diri dan 171,252 kes perceraian pasangan suami isteri di negara ini.

“Kemurungan dipercayai menjadi punca utama penyakit mental sehingga membawa kepada kes bunuh diri seperti terjun dari bangunan atau mencederakan diri.

“Malahan kemurungan kronik disebabkan tekanan hidup menyebabkan pesakit berhalusinasi. Mereka mungkin membunuh diri jika tidak dirawat segera,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Bengkel Terapi Minda [email protected], di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah LPPKN negeri, Lim Lee Peng dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Komuniti Permatang Rambai, Zulkafli Mohd. Yusof.

Seramai 80 warga komuniti Kampung Permatang Rambai dan Kampung Permatang Sungkai menyertai program anjuran LPPKN Kelantan tersebut yang dibuat selama tiga hari.

Mariam Mas dalam pada itu berkata, masalah mental boleh diatasi menerusi sokongan psikologi dan kaunseling dan LPPKN kini sedang giat membantu golongan tersebut dengan menawarkan bengkel terapi minda dengan memberi fokus terhadap pengurusan tekanan hidup, emosi dan marah.

“Bengkel terapi minda yang dilaksanakan LPPKN adalah satu program sokongan psikologi yang menggabungkan elemen terapi yang diharapkan dapat mengurangkan stres yang dialami pesakit masalah mental.

“Setakat ini kes kaunseling kesihatan mental yang dirujuk kepada LPPKN Kelantan pada tahun lalu adalah sebanyak 87 kes,” katanya.

Mariam Mas berkata, kaunselor LPPKN sedia turun padang untuk membantu individu atau keluarga yang bermasalah.

“Kita juga menyeru badan bukan kerajaan (NGO) bergandingan dengan LPPKN dalam merencanakan program yang mampu menyumbang kepada kesejahteraan hidup komuniti,” katanya. - UTUSAN ONLINE