Hal ini kerana lubang yang terbuka luas itu mendedahkan anak mereka kepada bahaya dan seolah-olah menjadi ‘perangkap maut’ yang hanya menunggu korban pertama jatuh ke dalamnya.

Mereka mendakwa, lubang longkang sedalam tiga meter itu sebelum ini memang ditutup dengan jeriji besi namun tiga bulan lalu, pihak kontraktor membuka penutup bagi melakukan kerja-kerja penyelenggaraan.

Wakil ibu bapa, Mohd. Amri Mat Hassan, 35, berkata, selepas penyelenggaraan selesai, pihak kontraktor terbabit tidak menutup kembali longkang sehingga sekarang.

Katanya, sebelum ini pernah ada penunggang motosikal dan basikal yang melalui jalan itu terjatuh ke dalam longkang berkenaan, namun mereka bernasib baik kerana cedera ringan sahaja.

“Kami bimbang dengan keadaan itu kerana kawasan ini menjadi laluan murid sekolah dan ibu bapa yang berulang ke sekolah setiap hari.

“Diharap pihak berkuasa segera mengambil tindakan menutup lubang itu secepat mungkin sebelum ada kejadian tidak diingini berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Suri rumah, Siti Nor Ayu Ismail, 45, pula berkata, masalah sudah disuarakan kepada pihak berkuasa tetapi masih tiada tindakan susulan sehingga sekarang.

“Longkang ini agak dalam dan boleh mengancam nyawa khususnya pada waktu malam.

“Jangan sampai ada terkorban nyawa jatuh dalam longkang ini barulah tindakan hendak diambil,” katanya.