Mereka mendakwa, keadaan longkang tersebut yang terbuka boleh mengundang bahaya teruta­ma kepada murid sekolah, guru-guru serta ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah setiap hari.

Guru Besar SK Long Ghafar, Wan Hassan Wan Abdullah berkata, pihaknya telah mengemukakan aduan berhubung ma­salah berkenaan kepada pihak berwajib sejak lebih sebulan lalu.

“Walau bagaimanapun, sehingga hari ini tindakan masih belum dibuat. Kita tidak mahu berlaku perkara tidak diingini terutama kepada murid, barulah tindakan diambil.

“Dengan keadaan lubang yang agak besar dan dalam, kita khuatir berlaku kemalangan sehingga ada yang terjatuh ke dalam longkang memandangkan kawasan itu adalah laluan utama murid,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Wan Hassan berkata, pihak­nya berharap agar masalah ini dapat diselesaikan bagi memberi keselesaan kepada murid untuk belajar dalam persekitaran yang lebih selamat.

Sementara itu, bapa kepada salah seorang pelajar sekolah itu, Wan Azizi Wan Abdul Ghani berkata, dia berharap tindakan segera dapat diambil bagi menyelesaikan masalah berkenaan demi keselamatan anak-anak.

“Masalah ini turut mengundang bahaya kepada orang ramai kerana boleh menyebabkan tayar kereta termasuk ke dalam longkang. Oleh itu, kami terpaksa meletak kenderaan lebih jauh ketika menjemput anak di sekolah.

“Saya mewakili ibu bapa yang lain berharap masalah ini mendapat perhatian segera sebelum berlaku kejadian yang tidak diingini,” katanya.