Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, pembinaan jeti tambatan bot baharu di Pulau Teluk Renjuna; Pulau Pantai Suri; Pulau Beluru; Pulau Tongkang dan Pulau Pantai Baru itu bagi kemudahan penduduk terutama nelayan kawasan Parlimen Tumpat.

“Jeti bernilai RM50,000 setiap satu ini perlu bagi menggantikan jeti lama yang reput dan rosak terutamanya akibat banjir besar dahulu.

“Kawasan ini banyak pulau dan kebanyakan penghuni adalah nelayan, apabila jeti rosak ia menjadi masalah kepada mereka untuk mendaratkan ikan dan menambat bot,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Ramah Mesra Bersama Nelayan Tumpat di Kompleks Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Geting di sini hari ini.

Tajuddin memberitahu, pembinaan jeti-jeti tersebut selaras dengan permohonan daripada Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Tumpat, Datuk Mohd Rosdi Ab. Aziz yang mahukan kebajikan penduduk terbela.

Terdahulu, Mohd Rosdi dalam ucapannya berkata, terdapat 25 pulau di kawasan Tumpat dengan 12 buah daripadanya didiami oleh kira-kira 4,000 penduduk.

“Ada jeti-jeti yang runtuh akibat banjir besar pada 2014 dan penduduk kini terpaksa bergantung kepada jeti buatan sendiri yang diperbuat daripada kayu dan buluh.

“Kita berharap pihak kementerian dapat membina jeti baharu bagi membantu urusan seharian penduduk di sini,” katanya.

Sebelum itu, Tajuddin turut meluangkan masa menziarahi dua bekas nelayan yang uzur iaitu Abdul Wahid Osman, 75, dan Radhi Hussein, 65, di Kampung Tebing di sini. - UTUSAN ONLINE