Mohd. Amar Nik Abdullah

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, jika projek tersebut lebih banyak memberi kemudaratan berban­ding kebaikan, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak membatalkannya.

“Kita sudah arah MPKB-BRI dan pemaju bincang dengan penduduk dahulu. Kita hendak pastikan sama ada betul ada masalah atau ada pihak tertentu sengaja memperbesar isu.

“Sebenarnya projek pembangunan ini masih di peringkat awal, kebimbangan penduduk bahawa tanah mereka diambil ini masih terlalu awal. Perkara ini perlu di­bincangkan terlebih dahulu,” katanya selepas mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Baru-baru ini, kerajaan negeri mengumumkan Lembah Binjai bakal dimajukan selepas MPKB-BRI menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan syarikat AUEI Teras Holdings Sdn. Bhd.

Bagaimanapun, projek yang dianggarkan bernilai kira-kira RM100 juta itu dikatakan mendapat bantahan penduduk yang bimbang tanah mereka diambil secara mengejut tanpa sebarang rundingan.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar berkata, MPKB-BRI dan pemaju perlu menawarkan penyelesaian terbaik kepada penduduk seperti menawarkan pampasan berpatutan atau rumah baharu kepada mereka di kawasan sama.

“Mengikut rancangan, projek ini dibahagikan kepada Zon A, B, C dan D namun kerajaan negeri hanya meluluskan pelaksanaan projek di Zon A sahaja.

“Zon A ini tidak besar, hanya melibatkan 14 rumah sahaja. Kita luluskan Zon A sahaja sebab kita nak lihat dulu pene­rimaan penduduk dan kejayaannya. Selepas itu barulah kita teruskan untuk zon-zon lain pula,” katanya.