Pengarah Pendidikan negeri yang juga Yang Dipertua Bijak, Muhammad Zahari Othman berkata, sebanyak 1,844 kematian direkodkan sepanjang tempoh 2000 hingga 2017 di mana sumbangan RM10,000 diberikan kepada setiap waris yang menjadi penama.

Beliau berkata, sehingga kini Bijak mempunyai seramai 31,623 ahli berdaftar terdiri daripada guru, kakitangan dan pesara Jabatan Pendidikan negeri termasuk Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Kita amat berbangga kerana sejak Bijak ditubuhkan pada 1999 telah ramai keluarga ahli yang dapat kita bantu.

“Tujuan utama Bijak ditubuhkan Jabatan Pendidikan negeri adalah untuk memberi bantuan dari sudut khairat kematian dan juga sumbangan-sumbangan lain yang berkaitan.

“Pada tahun ini sahaja, sebanyak RM1.26 juta telah diserahkan kepada waris 126 ahli yang meninggal dunia sehingga hujung Ogos lalu,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Bijak Kali Ke-19 Jabatan Pendidikan negeri di Dewan Besar, Bahagian Teknologi Pendidikan negeri di sini hari hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Pendidikan yang juga Timbalan Yang Dipertua 1 Bijak, Abdullah Mat.

Seramai 500 ahli termasuk pesara dan bekas pendidik hadir pada mesyuarat tersebut. - UTUSAN ONLINE