Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Mohamed Fatmi Che Salleh berkata, sumbangan kepada pelajar yang mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan utama itu adalah program tahunan bagi menghargai usaha keras pelajar, guru dan juga ibu bapa yang memberi dorongan kepada kejayaan anak-anak mereka.

“Biarpun saya terus dikecam pihak -pihak tertentu yang mendakwa sumbangan diberi kerana pilihan raya yang semakin dekat namun saya tidak kisah kerana yang paling utama adalah kejayaan anak-anak perlu kita hargai.

“Program ini adalah acara tahunan untuk meningkatkan bidang pendidikan di negeri ini dengan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) sebagai penyelaras,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi pertama penyampaian sumbangan membabitkan 870 pelajar cemerlang dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) di Dewan Putera, Kompleks Sekolah-sekolah, Wakaf Mek Zainab di sini hari ini.

Penyampaian sumbangan bagi pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) akan dilaksanakan petang ini dan esok.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua UMNO bahagian Kota Bharu, Datuk Mohamed Hasnan Che Hussin; Ketua Wanita UMNO Kota Bharu, Madihah Ab Aziz; Timbalan Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Kota Bharu, Fikhran Hamshi Mohamad Fatmi dan Exco Pemuda MCA, Chua Hock Kuan. - UTUSAN ONLINE