Mek Esah Awang Ahmad, 55, yang bekerja sebagai tukang sapu, berkata, mereka sekeluarga terpaksa tinggal di rumah pusaka berusia lebih 80 tahun itu kerana tidak mampu untuk menyewa di tempat lain ekoran kesempitan hidup.

Menurutnya, selain berhimpit di ruangan dapur yang sangat sempit, anaknya juga berehat di ruangan bilik yang lantai kayunya sudah reput.

 

“Saya tinggal di sini bersama suami, empat anak dan dua orang cucu. Saya bimbang keadaan dua cucu saya yang masih kecil berusia lima dan tujuh tahun kerana lantai yang reput menyebabkan mereka pernah terjatuh.

“Saya hanya boleh tinggal di dapur disebabkan kawasan ruang tamu sudah tidak boleh dipijak lagi kerana papan lantai yang berlubang dan tidak beratap,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui pemberita di kediamannya semalam.

Empat daripada lapan anak berusia 24 hingga 38 tahun yang tinggal bersamanya hanya melakukan kerja kampung dan mengambil tempahan roti jala.

Manakala, salah seorang daripada mereka pula, Nurul Farahani Ali, 28, sudah berpisah dengan suaminya hampir lima tahun lalu dan mempunyai dua orang anak berusia lima dan tujuh tahun.

Mek Esah memberitahu, pendapatannya RM1,000 sebulan hanya cukup untuk menampung hidup mereka lapan beranak serta menyulitkannya untuk mengubah suai rumah itu.

 

“Suami saya, Ali Daud, 67, sudah tidak boleh bekerja sebab masalah penglihatan dan semakin uzur,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ali yang pernah bekerja sebagai tukang kebun berkata, mereka menerima bantuan sebanyak RM400 sebulan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK)

“Bantuan ini dapat meringankan sedikit beban kami sekeluarga tapi untuk membaiki rumah kami tidak mampu, “ ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menguhubungi Nurul Farahani ditalin 0199607140 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Mek Esah Awang Ahmad di 0301041000238872. - UTUSAN ONLINE