Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr. Mohd. Az­lan Abd. Hadi berkata, akhlak petugas rumah anak yatim adalah perkara pertama yang perlu diberi fokus utama kerana pendidikan tidak hanya melibatkan pengajaran dan pembe­lajaran tetapi mencakupi proses pe­niruan serta pe­ngaruh persekitaran.

Beliau berkata, sikap amanah untuk berkhidmat kepada anak-anak yatim perlu dipikul de­ngan penuh tanggungjawab sebagai­mana tuntutan al-Quran.

“Kita perlu pasti petugas di rumah anak yatim adalah dalam kalangan mereka yang berakhlak dan bersahsiah serta taat mengerjakan solat lima waktu. Ini semua akan menjadi ikutan dan idola anak-anak.

“Terdapat pelbagai latar belakang anak-anak yatim yang datang dari pelbagai budaya hidup keluarga dan persekitaran mereka sebelum ini. Pendidikan dan pembelaan yang berteraskan ajaran Islam perlu diperkukuhkan,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Asrama Sementara Rumah Anak Yatim dan Dhuafa’ Sri Peraksi, dekat sini, hari ini.

Mohd. Azlan berkata, kaedah pendidikan secara Islam akan menampilkan anak-anak yang bertakwa, bijaksana, bersahsiah, hufaz al-Quran dan tidak tergolong dalam golongan zuriat yang lemah.

Menurutnya, kebanyakan anak-anak yatim dihantar ke sekolah-sekolah berdekatan untuk mendapatkan pendidikan akademik dan berpeluang bergaul de­ngan rakan sebaya dalam persekitaran sekolah.

“Pengukuhan agama dan akh­lak perlu diberi penegasan dan pengukuhan pula oleh pe­ngurusan rumah anak yatim.

“Saya khuatir dengan ancaman dadah yang semakin mengancam anak-anak remaja dan sepatutnya golongan yang dituntut Allah untuk dibela terpalit dengan kes sosial yang sama,” katanya.

Tambahnya, MAIK tidak teragak-agak memberhentikan petugas yang tidak menunjukkan teladan baik termasuk mempe­ngaruhi anak-anak yatim mero­kok di rumah anak-anak yatim di bawah seliaan majlis itu.