Abdul Rauf berkata, biarpun kesalahan itu nampak kecil namun telah menyebabkan dirinya bermasalah untuk menghafal al-Quran apatah lagi ketika insiden itu, dia baru enam bulan belajar di tingkatan satu Maahad Tahfiz Al Quran Wal Qiraat Pulai Chondong, Machang.

Bagaimanapun, katanya, satu panggilan telefon dari asrama sekolah yang dibuat semata-mata untuk memohon kemaafan kepada ibu bapanya, Sapuan Yusoff, 44, dan Dr. Rosnani Zakaria, 45, akhirnya menjadi penawar kepada masalah itu.


“Semasa mula-mula belajar dahulu saya ambil masa 15 minit untuk menghafal satu muka surat al-Quran tetapi suatu hari semasa membaca ayat-ayat di muka surat 33 Surah al-Baqarah saya mengalami kesukaran mengingat walaupun mengulang-ngulang sehingga sejam.

“Saya menangis dan merujuk kepada ustaz yang menasihatkan saya supaya menelefon ibu bapa kerana mungkin ada kesilapan yang telah saya lakukan dan saya teringat sehari sebelumnya semasa cuti hujung minggu di rumah, saya telah berlengah menjemur kain walaupun ibu sudah menyuruh beberapa kali,” katanya.


Abdul Rauf merupakan salah seorang daripada 281 pelajar tahfiz dari sembilan buah sekolah YIK yang menerima Sijil Graduasi Tahfiz 2018 yang telah disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) di sini hari ini.


Dalam majlis itu, pelajar dari Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, Ainul Mardhiah Hamdan menjadi penerima anugerah Tokoh Tahfiz 2018 kategori perempuan.


Abdul Rauf dalam pada itu berkata, dia berjaya menyempurnakan hafazan 30 juzuk al Quran pada Julai tahun lalu iaitu selepas menghafal dalam tempoh dua tahun tujuh bulan. 


Anak ketiga daripada enam beradik ini berkata, kakaknya, Nur Sakinah, 18, juga sudah bergelar seorang penghafaz al Quran.


“Saya perlu menjaga pandangan mata supaya hafazan tidak terjejas, saya juga perlu memahami maksud umum ayat-ayat al Quran yang saya hafal untuk memperkukuhkan ingatan,” katanya. - UTUSAN ONLINE