Setakat ini, terdapat lebih 100 pelajar dari seluruh negara mengikuti pengajian agama dan akademik secara serentak di situ.

Mereka terdiri daripada remaja berusia 13 hingga 17 tahun.

Pondok tersebut menawarkan tempat untuk calon menduduki peperiksaan tahfiz al-Quran, Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Sijil Menengah Ugama (SMU) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Penyelia Tadbir Pondok Madrasah Daril Naim, Che Abdul Razak Che Mahmood berkata, sebelum di­terima menjadi penuntut, calon mestilah memenuhi syarat utama iaitu berminat untuk menghafal al-Quran.

Selain itu katanya, calon perlu pandai membaca dan menulis jawi, boleh membaca al-Quran dan sekurang-kurangnya mendapat pencapaian 2A ke atas dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Mulai tahun lepas, pengurusan pondok turut menawarkan pengajian peringkat Sijil Tinggi Ugama Pondok (STUP) yang diiktiraf oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK) kepada pelajar berumur 17 tahun hingga 20 tahun yang tiada rekod disiplin atau jenayah.

“Pihak pengurusan pondok juga menyediakan kelas pengaji­an untuk pelajar yang belum memiliki SPM. Yuran yang dikenakan ialah RM250 sahaja iaitu bayaran untuk makan minum, asrama dan dobi,” katanya.

Che Abdul Razak berkata, tempoh pengajian di situ adalah tiga tahun dan setiap pelajar wajib menghafal al-Quran dengan fasih sekurang-kurangnya lima juzuk.

“Sukatan pembelajaran di sini mengikut kitab pondok tradi­sional yang diiktiraf oleh Universiti Al-Azhar, Mesir. Corak pengajian mengikut sistem 'Tallaqi' yang telah diamalkan sejak beratus tahun yang lalu di Masjidil Haram,” katanya.

Selain pengajian bidang agama, pelajar turut didedahkan dengan pelbagai aspek lain bagi membolehkan mereka menjadi insan yang cemerlang dalam semua bidang, ujar beliau.

Menurut Che Abdul Razak, kegiatan jasmani turut diberi penekanan, malah para pelajar di situ bergiat aktif dalam sukan bola sepak, bola tampar, sepak takraw dan pingpong.