Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob berkata, warga Kemas perlu lebih bersedia bagi melahirkan modal insan kelas pertama yang mempunyai semangat patriotik dan jati diri yang tinggi.

“Semua warga Kemas adalah sebahagian daripada pemacu utama dalam memastikan lonjakan yang lebih besar untuk masa hadapan.

“Dengan peranan yang dimainkan oleh warga Kemas, ia akan memberi kesedaran minda kepada masyarakat luar bandar supaya mereka lebih berfikiran global,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sambutan Hari Potensi Kemas peringkat negeri di Sekolah Menengah Sains Machang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kemas, Ahmad Kamal Idris dan Pengarah Kemas negeri, Anuar Mat Zin.

Pada majlis berkenaan, seramai 3,000 anak-anak Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Kemas serta ibu bapa hadir memeriahkan sambutan berkenaan.

Program yang bermula seawal pukul 9 pagi itu turut dimeriahkan dengan pelbagai acara termasuk bola jaring, futsal dan gerak kreatif. - UTUSAN ONLINE