Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak berkata, pihaknya akan mengatur jadual mengikut kesesuaian cuaca dan juga pasaran semasa.

“Ada masa tertentu beberapa jenis tanaman sangat sensitif dengan keadaan cuaca dan dise­babkan itu, kita alihkan tanaman ini ke kawasan-kawasan yang tidak terjejas banjir.

“Misalnya, pada musim banjir tidak ada labu manis yang ditanam di sini tetapi kebanyakan petani di Pantai Barat seperti Melaka, Perak dan Negeri Sembilan menanam labu tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas maj­lis menandatangani Perjanjian Jual Beli Tembikai Wangi Antara FAMA dengan Peserta Ladang Kontrak Angrotourism di Kampung Banggol, di sini hari ini.

Dalam majlis sama, beliau turut menyerahkan dua buah motosikal roda tiga kepada usahawan FAMA bagi memudahkan kerja peraih hasil pertanian di kawasan pedalaman.

Yang hadir sama, Pengarah FAMA Negeri, Mohd. Ariffin Awang.

Sejumlah 500 tan metrik tembikai bernilai kira-kira RM900,000 yang diusahakan sekumpulan petani di Kampung Banggol akan dipasarkan melalui perjanjian jual beli pada awal April ini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pihaknya akan merujuk terus kepada kawasan pengelua­ran sekiranya berlaku kekurangan bekalan berlaku dipasaran.

Menurutnya, projek ladang kontrak diusahakan oleh petani juga tidak berhadapan dengan risiko pasaran atau bekalan.