Pengurus Pusat Komuniti Desa (PKD) kampung itu, Noorkamarul Izham Noor Indera berkata, KRT menjalinkan kerjasama dengan PKD kampung dengan mengambil inisiatif mencari dana sendiri bagi menampung perbelanjaan penduduk terlibat dan pengurusan kampung mereka.

Beliau berkata, sebagai permulaan seramai 10 penduduk kampung telah mengusahakan penternakan ikan dalam sangkar dan dua orang lagi mengusahakan kebun betik sejak awal tahun ini.

“Jabatan perikanan memberikan bantuan lebih 50,000 ekor benih ikan talapia, keli, patin, lampan jawa dan baung kepada kita untuk menjalankan projek ini.

“Kita juga dalam proses menghantar peserta kita untuk me­nyertai kursus pembenihan ikan bagi memantapkan lagi ilmu dan kemahiran menternak ikan,” katanya di sini hari ini.

Noorkamarul Izham berkata, kerjasama penduduk tanpa me­ngira usia menjadi nadi kepada pembangunan kampung berke­naan.

Seorang penduduk yang terlibat dalam projek penternakan ikan, Muhammad Hanis Mohd. Noor, 24, berkata, projek ekonomi yang dilaksanakan di kampung itu dapat menjadi tarikan pelancongan kepada penduduk di kawasan sekitar.

Katanya, mereka gembira apabila mendapat hasil yang memberangsangkan, bagaimanapun berharap mendapat bantuan da­ripada agensi berwajib.

“Projek pembinaan sangkar ikan kita menggunakan sumber hutan seperti buluh yang ada di kampung ini.

“Jadi kita berharap mendapat bantuan daripada agensi tertentu untuk kita membina secara lebih moden termasuklah sistem perairan,” katanya.

Mohd. Noor Abdullah, 57, yang terlibat dalam projek penanaman betik juga gembira apabila setiap peserta terlibat dapat menjana pendapatan.

Katanya, ketika ini lebih 700 pokok betik di atas tanah seluas 0.4 hektar telah mengeluarkan hasil dan mereka telah memasarkan buah itu di Pasar Borong Selayang, Kuala Lumpur.