Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asy­raf Wajdi Dusuki berkata, konsep tersebut merupakan asas ajaran Islam bagi memupuk kesejahteraan dan keharmonian terutama dalam negara berbilang kaum ini.

Beliau berkata, impak positif daripada konsep itu dalam konteks hubungan sesama manusia pasti akan menjadi amalan terpuji dalam kerukunan hidup rakyat yang berbilang bangsa dan agama.

“Kita lihat bagaimana warga pendidik menerapkan ciri-ciri be­kerjasama, bermuafakat dan bersama-sama merayakan hari raya dengan nilai yang harmonis di pelbagai peringkat usia, termasuk dalam kalangan murid-murid se­awal usia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Puteh dekat sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Jajahan Pasir Puteh, Mohd. Anis Hussin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Datuk Zawawi Othman; ADUN Selising, Zulkefli Ali; Ketua Pegawai PPD ber­kenaan, Harun Yusof; ketua-ketua jabatan kerajaan dan kakitangan jabatan pendidikan.

Asyraf Wajdi berkata, rumah terbuka membantu masyarakat mengenepikan soal remeh-temeh, persengketaan kecil dan perbezaan fahaman politik kerana tujuan utama adalah merapatkan saf serta mengeratkan hubungan sesama Islam.

“Jadikan sambutan hari raya sebagai titik mula untuk kita bermaaf-maafan dan mensyukuri nikmat Allah SWT.

“Sesungguhnya perpaduan yang kukuh akan melambangkan kekuatan sesuatu kaum berban­ding perpecahan sesama sendiri yang memberi impak yang tidak menguntungkan,” katanya.