Serama dinilai kerana ‘ketempanannya’ tetapi kini kokokannya yang menjadi taruhan. Namun bukan ayam jantan biasa yang dipertaruhkan tetapi baka ayam hutan hibrid.

Kata penggemar-penggemar hobi terbaharu ini, baka tersebut mengeluarkan kokokan yang lebih nyaring dan enak didengar.

Dan lazimnya bunyi ini hanya digilai oleh lelaki tetapi di Karnival Ayam Sorak negeri anjuran Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan di Taman Orkid di sini semalam menampilkan kelainan apabila salah seorang daripada pesertanya ialah seorang wanita bergelar cikgu.

Khamsiah Abidin, 47, guru Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (SK) Pantai Senak, Bachok tidak peduli apa pandangan orang kerana minatnya yang terlalu mendalam kerana terdorong oleh hobi suaminya, Zurizam Ibrahim, 52, menggenai ‘ayam sorak’.

Malah bagi ibu kepada empat anak yang berusia berusia 19 tahun hingga 26 tahun ini, hobi itu memberi kepuasan kepadanya selepas seharian bertugas di sekolah selain mengeratkan hubungan keluarga

“Saya tidak pernah fikir apa orang kata dan tidak mahu ambil tahu. Saya ibarat gian bertanding dan akan rasa resah kalau dalam beberapa hari tidak dapat bawa ayam menunjukkan kebolehan berkokok.

“Setiap hari saya cuba luangkan masa masuk pertandingan ayam sorak secara kecil-kecilan di merata tempat tidak kira petang atau malam,” katanya ketika ditemui selepas karnival tersebut di sini semalam.

Khamsiah adalah satu-satunya peserta wanita yang menyertai karnival tersebut.

Pertandingan yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, Datuk Mejar (B) Md Anizam Abd Rahman itu disertai oleh hampir 1,000 ekor ayam termasuk daribTerengganu, Negeri Sembilan, Perak dan Johor.

Aktiviti yang berasal dari negara jiran Thailand itu tetapi baru setahun popular di negeri ini mengkehendaki ayam membuat sekurang-kurangnya 35 kokokan dalam tempoh 15 minit atau istilahnya berjaya mendapat ‘cing’ sebelum ke peringkat seterusnya.

Sementara itu, Khamsiah berkata, dia kini memelihara lebih 20 ekor ayam yang dijaga ibarat anak sendiri dan mengakui menghabiskan ratusan ringgit sebulan untuk keperluan makanan termasuk minyak ikan dan vitamin bagi kesihatan ayam-ayam peliharaannya.

Dalam pertandingan itu, dua daripada empat ekor ayamnya yang masuk bertanding menjadi antara 47 ekor ayam yang mendapat tempat di pusingan akhir.

Sementara itu, peserta cilik, Muhammad Nur Akram Adam Mohd Nor Khairul Anwar, 13, gembira berjaya mendapat hadiah saguhati RM100 apabila ayamnya juga tersenarai dalam 47 ekor ayam yang bertanding di pusingan akhir.

Muhammad Nur Akram Adam berkata, dia dan adiknya, Muhammad Nur Ikram Hakim,8, memelihara tiga ekor ayam yang dihadiahkan ayah mereka untuk dibawa ke pertandingan ayam sorak sejak tahun lalu.

“Setiap pagi sebelum ke sekolah saya beri ayam makan dahulu, bila balik dari sekolah saya mandikan ayam di bilik air atas rumah, ayam mudah terperanjat bila kena air jadi saya perlu usap dan belai supaya ia tenang,” katanya. - UTUSAN ONLINE