Kegilaan terhadap seni suara itu dapat dilihat dalam Pertan­dingan Kokokan Ayam Hutan Hibrid Terbuka Rantau Panjang di Kampung Parit Air, Pintu 2 Kastam di sini, apabila pemilik tidak putus-putus berteriak supaya ayam peliharaan mereka mengeluarkan suara walaupun menawarkan hadiah hanya ‘toto’, gelas dan mangkuk.

Pada pertandingan itu, ayam hutan hibrid milik Abdullah Ali Yusoff, 62, dinobatkan sebagai juara menewaskan 59 ekor ayam lain.

Ayam milik Abdullah Ali yang dinamakan sebagai Hijau mempamerkan kokokan bergaya sebanyak 41 kali sepanjang tempoh 15 minit sekali gus menjadi juara.

“Saya terkejut Hijau boleh menang kerana ini kali pertama masuk bertanding.

“Namun rezeki berpihak kepada kami dan saya gembira dengan kejayaan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, penganjur pertandingan, Mahadi Ismail mengakui terkejut dengan sambutan luar biasa yang diberikan oleh peminat ayam berkenaan.

Katanya, walaupun kali pertama dianjurkan, ia berjaya menarik 60 peserta untuk menyertai pertandingan tersebut dengan yuran penyertaan RM10 setiap seekor ayam.

Menurutnya, sambutan luar biasa itu menyemarakkan lagi semangat untuk meneruskan penganjuran pada masa akan datang.

“Pertandingan seni suara ayam hutan hibrid berbeza kerana di­nilai berpandukan kepada jumlah ko­kokan yang di­lontarkan.

“Lebih banyak kokokan yang di­lontarkan, maka ayam tersebut di­nobatkan sebagai juara.

“Itulah uniknya pertandingan ayam hutan hibrid ini bertan­ding seni suara burung ketitir, terkukur, candik dan merbah jambul yang dinilai pada air suara,” katanya.