Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, pihaknya akan berusaha melaksanakan projek menaik taraf klinik itu dengan peruntukan sedia ada.

Beliau berkata, bagi permohonan klinik kesihatan baharu di Bukit Mas, Kemahang, beberapa proses perlu dilalui sebelum diluluskan.

“Saya telah menerima permintaan ini secara baik dan kita akan cuba menaik taraf klinik ke­sihatan sedia ada sebaik mungkin untuk manfaat rakyat di kawasan ini.

“Kita akan cuba memberi ke­utamaan dengan mengambil kira keperluan di dalam kawasan ber­kenaan,” katanya kepada pembe­rita selepas merasmikan Sambutan Hari AIDS Sedunia Peringkat Kebangsaan 2017 di Klinik Kesihatan Kemahang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz; Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir dan Presiden Majlis AIDS Malaysia, Bakhtiar Talhah.

Pada majlis itu, beliau turut merasmiKan Kabin Program Pertukaran Jarum Suntikan (NSEP) Model Klinik Kesihatan dan Unit Dialisis Komuniti Klinik Kesihatan Kemahang.

Sementara itu, Ikmal Hisham berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada Kementerian Kesihatan yang telah meluluskan untuk menaik taraf Klinik Kesihatan Gual Ipoh.

“Ini adalah berita baik dan telah lama dinanti-nantikan oleh warga Tanah Merah khususnya untuk penduduk di kawasan Gual Ipoh.

“Dengan perlaksanaan projek menaik taraf Klinik Kesihatan ini, ia bakal memberi kemudahan dan keselesaan kepada penduduk setempat untuk mendapatkan rawatan. Terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada Menteri Kesihatan Malaysia,” katanya.