Perusahaan milik Wan Zainudin Wan Hamat dan keluarganya itu sekarang beroperasi di tapak baharu di Taman Warisan, tidak jauh dari lokasi asal.

Wan Zainudin, 54, mengakui tapak asal kilang itu menyimpan kenangan tersendiri kerana merupakan warisan turun-temurun keluarganya yang bermula secara kecil-kecilan sebelum berkembang maju seperti yang ada pada hari ini.

“Kami beroperasi secara sementara sahaja di tapak baharu ini. Selepas pembangunan Projek Kampung Warisan Pelancongan selesai dalam tempoh dua tahun, kami akan berpindah ke sana semula.

“Walaupun sedih kerana ba­nyak kenangan di kilang lama, namun kami rela berkorban kerana yakin projek yang dibangunkan kerajaan ini mampu menjanjikan masa depan lebih baik kepada semua pengusaha serunding dan makanan tradisi Kelantan,” katanya.

Dia ditemui selepas perasmian kilang baharu Suzara Sulaiman yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di sini hari ini.

Sementara itu, Ahmad berkata, Projek Kampung Warisan Pelancongan Kampung Laut yang bermula secara berperingkat sejak dua tahun lalu tidak terencat, malah berjalan lancar meskipun kerajaan Persekutuan sudah bertukar tangan.

Katanya, setakat ini, kira-kira 15 keluarga dan lima perusahaan serunding serta makanan tradisi yang berada di lokasi pemba­ngunan telah selamat dipindahkan di kawasan penempatan baharu seluas 1.48 hektar sejak setahun lalu.

“Projek tebatan banjir Sungai Kelantan melibatkan Kampung Laut akan bermula tidak lama lagi dengan kerja-kerja pembersihan kawasan sedang giat dijalankan sekarang. Kumpulan yang telah selamat dipindahkan ini ialah mereka yang berada di kawasan itu.

“Alhamdulillah, walaupun kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih negara, projek ini tetap diteruskan dan berjalan lancar sebagaimana kita harapkan,” katanya.

Projek Kampung Warisan Pe­lancongan yang membabitkan kos kira-kira RM30 juta dilaksanakan secara berperingkat sejak dua tahun lalu oleh Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).