Untuk itu, Pejabat Kesihatan Kuala Krai, Persatuan Bantuan Perubatan (Mercy) Malaysia, Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Hospital Kuala Krai dan Kelab 4x4 Kuala Krai telah bekerjasama untuk mengadakan lawatan secara berkala sekurang-kurangnya dua kali setahun ke kawasan perkampungan tersebut.

Langkah itu memberi kemudahan kepada penduduk Orang Asli tanpa perlu keluar ke bandar Gua Musang yang terpaksa menempuh perjalanan melalui jalan ba­lak hampir 100 kilometer selama lebih empat jam bagi mendapatkan rawatan kesihatan.

Pegawai Kesihatan Daerah Kua­la Krai, Dr. Noor Aini Ibrahim berkata, selain membuat saringan dan memberi kesedaran kepen­tingan menjaga kesihatan untuk penduduk Orang Asli, rombo­ngan tersebut turut menyampaikan bantuan keperluan harian.

“Kita ingin merapatkan hubu­ngan komuniti Orang Asli dengan masyarakat luar serta membantu memperluaskan kemudahan ke­sihatan penduduk pedalaman.

“Biasanya kita buat dua kali setiap tahun untuk memberi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk.

“Antara perkhidmatan kesihatan yang kita buat ialah memberi perkhidmatan kesihatan di kampung sekitar, saringan demam malaria, ujian kesihatan untuk kanak-kanak dan ibu mengan­dung serta perkhidmatan merancang keluarga,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Sementara itu, Penghulu Kampung Enching, Amba Angah berkata, masyarakat Orang Asli berharap agar program sedemikian dapat diteruskan untuk keperluan kesihatan mereka.

Katanya, jarak kawasan pe­nempatan Orang Asli yang jauh dari kawasan bandar menyukarkan mereka untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital yang disediakan kerajaan.

“Penempatan kami agak jauh dari bandar dan jika ada kes kritikal kami terpaksa meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mengambil pesakit menggunakan helikopter bagi mendapatkan rawatan di hospital,” katanya.