Jarak kawasan penempatan Orang Asli yang jauh dari kawasan bandar menyukarkan mereka untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital yang disediakan kerajaan.

Namun pihak kerajaan sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik untuk Orang Asli seterusnya mendidik mereka supaya peka tentang kepentingan penjagaan kesihatan.

Memahami kesukaran untuk keluar ke bandar bagi mendapatkan rawatan, pihak Kementerian Kesihatan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sentiasa mengadakan Kem Kesihatan kepada masyarakat Orang Asli di negeri ini.

Setiap bulan, masyarakat Orang Asli mendapat perkhidmatan kesihatan secara percuma apabila kakitangan perubatan datang sendiri ke kampung mereka melakukan pemeriksaan kesihatan.

Bagi 98 keluarga Orang Asli suku kaum Batek di Perkampungan Aring 5 di sini mereka bersyukur apabila mendapat manfaat dan kesedaran berkenaan kepentingan penjagaan kesihatan.

Menurut penduduk, mereka sentiasa dikunjungi pegawai perubatan dari daerah ini dan Hospital Orang Asli Gombak, Selangor secara berkala.

Sebelum ini mereka terpaksa menempuh perjalanan hampir 50 kilometer untuk mendapatkan rawatan di pusat kesihatan terdekat iaitu di Klinik Kesihatan Aring 1.

Ketua Kampung Aring 5, Ranai Anjang berkata, kehadiran petugas kesihatan dari Hospital Orang Asli Gombak, Klinik Kesihatan Aring 1 dan Chiku 3 secara berkala setiap bulan memudahkan penduduk kampung mendapatkan rawatan.

“Kami bersyukur kerana petugas kesihatan sentiasa prihatin dengan masalah kesihatan kami. Selain dibekalkan dengan ubat-ubatan, kami juga mendapat makanan yang berkhasiat untuk bayi serta kanak-kanak.

“Selalunya kami terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar untuk menyewa kenderaan namun, kehadiran anggota perubatan sedikit sebanyak membantu kami yang rata-ratanya berpendapatan rendah dan hanya mengusahakan tanaman sara diri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Seorang penduduk Orang Asli, Deli Udang, 28, pula berterima kasih kepada pegawai perubatan yang sering hadir ke kampung mereka.

“Walaupun kami tinggal jauh di kawasan pedalaman iaitu lebih 80 kilometer dari bandar Gua Musang tetapi tidak menghalang agensi terlibat untuk datang ke kampung ini.

“Kehadiran mereka memudahkan kami kerana terdapat Orang Asli yang uzur dan tidak larat mendapatkan perkhidmatan kesihatan serta bekalan ubat.

“Jika ke klinik kesihatan kami terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan, namun dengan adanya pemeriksaan secara berkala ke kawasan perkampungan ini memudahkan kami,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Sambari Jaafar, 34, berkata, pihaknya didedahkan dengan kaedah penjagaan kesihatan yang baik.

“Kawasan persekitaran yang agak terpencil menyebabkan penduduk di kampung ini sering kali mengalami penyakit kulit dan demam kerana tidak peka dengan masalah kesihatan.

“Mereka turut datang ke sini mengadakan Kem Kesihatan dan berkampung bersama kami untuk memberi panduan berkaitan kepentingan penjagaan kesihatan bagi mengelak dijangkiti penyakit,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Paloh, Datuk Nozula Mat Diah berkata, program yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan dan agensi kerajaan lain memberi manfaat kepada masyarakat pedalaman.

“Kita mendapati Orang Asli banyak menghadapi masalah kesihatan. Keadaan persekitarannya menyebabkan mereka sering mengalami masalah penyakit kulit, sa- kit batuk kering (tibi) dan demam.

“Jadi dengan kedatangan petugas kesihatan dan agensi lain dapat memberi kesedaran betapa pentingnya penjagaan kesihatan kepada penduduk Orang Asli yang dilihat begitu takut dengan jarum suntikan dan ubat-ubatan.

“Saya melihat program sebegini bukan sahaja dilakukan oleh ke­menterian itu, malah agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Ma­syarakat, Jabatan Pendaftaran Ne­gara, Jabatan Kemajuan Islam Ma­laysia dan Pejabat Pendidikan Daerah sering mengadakan aktiviti untuk masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman dan sangat bagus,” katanya.