Timbalan Pengerusi Kesedar, Datuk Nozula Mat Diah berkata, kos tersebut merangkumi pelbagai program yang dilaksanakan agensinya bagi memberi kemahiran dan meningkatkan pendapat­an usahawan.

Katanya, peruntukan tersebut bertujuan membantu usahawan di daerah itu, Kuala Krai, Jeli dan Tanah Merah merangkumi bantuan modal, latihan keusahawanan, pembinaan premis serta peralatan.

“70 peratus usahawan Ke­sedar adalah dalam kalangan belia manakala 30 peratus lagi merupakan usahawan tradisional yang menghadapi masalah dari segi pasaran.

“Kita sebagai sebuah agensi kerajaan komited untuk membantu usahawan yang memerlukan khidmat nasihat serta bim­bingan berterusan.

“Usahawan kita masih lagi ketinggalan dalam memasarkan produk secara online dan kita mengadakan kursus agar mereka lebih mahir tentang perkembang­an teknologi semasa agar setan­ding dengan kawasan lain,” kata­nya selepas merasmikan Program Pusat Sehenti Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) dan Kesedar di Kesedar Inn, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengurus Besar Pembangunan Keusahawanan Gabem, Tajuddin Adan dan Pengurus Bahagian Ekonomi dan Pelaburan Kesedar, Norlidasaidi Awang Teh.

Sementara itu, Tajuddin berkata, Pusat Sehenti Gabem hasil kerjasama Kesedar diadakan sebagai platform untuk usahawan bumiputera bertemu secara terus de­ngan 15 agensi dan kementerian yang terpilih.

Katanya, peserta diberikan pendedahan mengenai peluang peniagaan, pembiayaan dan khid­mat nasihat perniagaan melalui ceramah yang diadakan.

“Kita juga membawa tiga orang usahawan berjaya untuk berkongsi pengalaman dan resepi kejayaan mereka dengan usahawan,” katanya.

Seorang usahawan coklat buatan tangan dari Bukit Bunga, Jeli, Mohd. Saupe Zakaria, 52, berkata, program Pusat Sehenti Gabem-Kesedar itu amat bermanfaat kepada usahawan di kawasan luar bandar.

Katanya, usahawan perlu me­rebut peluang untuk mengemukakan sebarang permasalahan untuk meningkatkan perniagaan mereka kepada 15 agensi yang terlibat.