Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Datuk Dr. Ibrahim Che Omar berkata, ini kertana menerusi program itu, usahawan mendapat pembiyaan dengan terma yang mudah dan kelulusan pinjaman yang lebih pantas.

“Program Endowmen Pembangunan Usahawan NADICORP – UMK Fasa pertama telah bermula pada 13 Februari 2017 yang disampaikan oleh Pengerusi dan Pengarah Urusan syarikat berkenaan, Tan Sri Dr. Nadzmi Mohd Salleh.

“Sejak diperkenalkan sebanyak 72 syarikat mikro yang telah dikenalpasti, di mana sebanyak 30 syarikat memohon dan 10 syarikat telah berjaya dipilih untuk peringkat pertama manakala untuk fasa kedua seramai tiga usahawan la­yak menerima pinjaman menerusi dana berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Program Endowmen Pembangunan Usahawan Fasa 2, di Galeri Pembangunan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, dekat sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pusat Penyelidikan Keusahawanan dan Inovasi Global (GERIC) UMK, Prof. Dr. Nik Maheran Nik Muhammad.

Pada majlis itu, Ibrahim menyerahkan cek pembiayaan berjumlah RM5,000 setiap seorang kepada tiga penerima iaitu Mohd. Yusri Mohamad, 42, yang merupakan pembekal ikan air tawar; Nik Mas Roslina Jaffar, 41, (pengusaha aiskrim) dan Junaida Abdul Aziz, 39 (perunding kewangan).

Ibrahim berkata, program seumpama itu lebih bersifat mikrokredit di mana usahawan terbabit bukan sahaja diberi pembiayaan tetapi juga mendapat bimbingan dan latihan daripada UMK menerusi GERIC.

Katanya, usahawan akan dipantau dan dibimbing menerusi siri kursus serta sistem mentor termasuk mendapat peluang untuk memasarkan produk mereka me­lalui rangkaian kerjasama UMK.

“Harapan saya juga agar projek ini dapat membantu usahawan bukan sahaja dari segi pembiayaan modal pusingan tetapi juga peningkatan pengetahuan ke­usahawanan melalui bimbingan dan latihan yang akan diberi oleh UMK dari semasa ke semasa,” ujarnya.