Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Faudzi Che Mamat berkata, Projek Penempatan Perumahan Nelayan Tok Bali membuktikan usaha murni membantu nelayan miskin dari Kota Bharu, Tumpat dan Pasir Puteh mendapat kediaman tetap dan mengikuti program pembangunan ekonomi yang disediakan.

Menurutnya, tapak kawasan perumahan disediakan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) manakala prasarana fizikal termasuk kediaman yang selesa dibangunkan Kerajaan Persekutuan.

"Sebelum ini nelayan terpilih dari empat daerah ini tidak memiliki rumah sendiri dan kini meeeka memulakan penghidupan baru di Tok Bali sebagai sebahagian anggota komuniti nelayan yang mempunyai potensi untuk maju dan keluar dari kepompong kemiskinan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Program Jalinan Mesra Penduduk, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Setiausaha (Dasar), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Sallehuddin Hassan.

Mohd. Faudzi berkata, bimbingan pelbagai pihak termasuk Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan lain-lain agensi pertanian membolehkan keluarga nelayan menceburi beberapa bidang baharu yang boleh menjana pendapatan.

Menurutnya, peranan yang dilaksanakan oleh Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melaksanakan pelbagai program peranjakan minda, menjana ekonomi dan bengkel keusahawanan turut membantu perubahan hidup kumpulan tersebut.

"Apa yang paling penting ialah peranan ketua keluarga nelayan di sini memastikan anak masing-masing berjaya dalam pendidikan.

"Usaha ini perlu diberi keutamaan kerana ia adalah saham yang bakal merubah kedudukan keluarga nelayan pada masa hadapan," katanya. - UTUSAN ONLINE