Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Ipoh, Mohd. Bakri Mustapha berkata, masjid tersebut adalah antara empat buah masjid di DUN itu yang menerima sumbangan termasuk Masjid Mukim Bechah Laut, Masjid Bukit Telaga dan Masjid Ulu Bertam.

"Bagi Masjid Mukim Bukit Durian ini, kita akan serahkan 100 peratus peruntukan ini kepada pihak masjid dengan harapan imam bersama ahli jawatan kuasa (AJK) dapat memaksimumkan perbelanjaannya.

“Setakat ini, kita berikan keutamaan kepada masjid dan surau berdasarkan permohonan imam atau AJK masjid sama ada berjumpa dengan saya atau melalui surat dan kita akan usahakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan berjumlah RM100,000 kepada masjid tersebut di sini hari ini.

Mohd. Bakri berkata, selain bantuan untuk naik taraf dan baik pulih masjid, sebanyak lima surau baharu yang dilengkapi dengan karpet serta kelengkapan lain akan dibina di Mukim Bukit Durian ini.

“Empat surau yang akan dibina baharu itu adalah di Kampung Berdang, Air Berdang, Tabeh dan Kampung Tengah, manakala di Bukit Nangka, surau lama akan dibaik pulih menjadi surau konkrit," katanya.

Sementara itu, Imam Masjid Bukit Durian, Che Azis Che Derahman berkata, sumbangan tersebut akan dibelanjakan bagi membina ruang dapur masjid.

“Pertama sekali, kita akan robohkan ruang dapur yang sedia ada memandangkan struktur papannya su­­dah usang dan akan digantikan dengan binaan baharu daripada konkrit.

“Kedua, kita nak pasang jubin di bahagian serambi serta tangga dan jika ada peruntukkan lebih, kita bercadang untuk membina wakaf rehat untuk kemudahan pengunjung,” katanya

Tambahnya, dia amat berterima kasih dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz.