Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, kerajaan negeri bersikap rasional terhadap isu itu, walaupun urusan tanah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri yang tidak boleh diganggu oleh kerajaan Pusat.

“Sebelum ini, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R. Siva­rasa ada menghubungi saya sendiri dan mengajak bersama ke kawasan sekatan yang dibuat masyarakat Orang Asli di Gua Musang.

“Saya pula, kebetulan ada program kerajaan negeri dan tidak dapat menyertai lawatan itu. Namun, kita bersedia sekiranya i­ngin diadakan perjumpaan serta perbincangan lanjut mengenai hal itu,” katanya ketika ditemui di Kompleks Kota Darul Naim, di sini semalam.

Beliau mengulas mengenai pertemuan di antara 200 wakil Orang Asli Gua Musang dengan Perdanan Menteri, Tun Dr. Mahathir Moha­mad berhubung kemelut tuntutan tanah adat masyarakat tersebut.

Dalam pada itu, Mohd. Amar yang juga Naib Presiden Pas mendedahkan Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (Jaringan) sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NG0) tidak berdaftar yang mempunyai agenda tersembunyi serta sering mendakwa mewakili masyarakat Orang Asli.

“Masalahnya sekarang bukan dengan semua Orang Asli, yang bising-bising ini adalah Jaringan. Sudahlah tidak berdaftar selepas itu mendakwa mewakili Orang Asli pula.

“Berapa ramai Orang Asli yang bersama dengan mereka? Kita difahamkan NGO berkenaan ada agenda tersembunyi sebab itulah saya terus terang, susah kita hendak berbincang dengan mereka.

“Ini kerana, sebagai kerajaan negeri kita perlu mengutamakan perbincangan dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sebab mereka komuniti yang diiktiraf. Malah, lebih menjadi isu apabila Jaringan sendiri tidak mengiktiraf Jakoa,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar berkata, berlaku banyak salah faham berhubung isu tanah adat dengan dasar kerajaan negeri sedia ada.

“Tanah adat memang tiada di Semenanjung seperti yang dijelaskan oleh Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan semalam. Ini kerana, istilah tanah adat hanya digunakan di Sabah dan Sarawak.

“Namun begitu, kerajaan negeri tetap mengiktiraf hak penduduk Orang Asli di negeri ini dengan mewartakan kawasan tersebut mengikut keputusan yang telah ditetapkan mahkamah sebelum ini,” ujarnya.