Ketua Pengarah LKTN, Samsudin Noor berkata, dalam perkembangan terkini industri kenaf, pihaknya telah dimaklumkan mengenai beberapa produk yang baharu dihasilkan.

 "Tetapi ia masih dalam kajian. Antara produk tersebut ialah sabun mandi dan pewangi kenderaan. Produk-produk ini dihasilkan oleh satu pengusaha kenaf di sebelah utara.

 "Bagaimanapun, kami tidak boleh memberi ulasan lanjut kerana belum menerima maklumat terperinci mengenai produk itu, kita harapkan ianya akan berjaya dan mampu menembusi pasaran," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

 Tambah Samsudin, LKTN sentiasa mengadakan perbincangan dengan pengilang-pengilang kenaf di seluruh negara dalam usaha memajukan industri tersebut.

 Malah katanya, LKTN juga sentiasa mencari formula terbaik untuk menghasilkan pelbagai jenis produk yang lebih ekonomik serta berpotensi untuk pasaran tempatan dan luar negara.

“Kita yakin produk berasaskan kenaf bakal menjadi saingan kepada produk-produk lain memandangkan masyarakat sekarang semakin mengenali dan faham fungsi kenaf.

 "Malah gentian kenaf dan tilam yang diperbuat daripada kenaf telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa sebelum ini," katanya. - UTUSAN ONLINE