Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, kumpulan gajah tersebut dikatakan memusnahkan tanaman pisang, ubi kayu, kelapa dan getah milik penduduk kampung tersebut meskipun kawasan itu telah dilindungi de­ngan pagar elektrik.

Beberapa penduduk yang ditemui di sini semalam mendakwa binatang liar itu memasuki kawasan tersebut disebabkan terdapat beberapa lokasi pada pagar elektrik bocor.

Seorang penduduk, Che Zaabar Mat Lazim, 59, berkata, dia menye­dari kehadiran kumpulan gajah liar itu selepas datang ke kebun­nya dan melihat lima ekor gajah sedang memusnahkan tanamannya.

“Terdapat kesan pokok ubi kayu dan pisang dicabut serta dimusnahkan oleh gajah-gajah ini dan insiden ini merupakan kejadian kali ketiga pada tahun ini.

“Selepas memusnahkan tanaman gajah-gajah ini telah masuk semula ke kawasan hutan dan saya bimbang haiwan ini akan muncul kembali serta mengancam keselamatan penduduk,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Samsul Aidi Mohamed, 40, berkata, pagar elektrik tersebut dipasang untuk melindungi kawasan tanaman penduduk seluas tiga hektar.

Katanya, bagaimanapun terdapat beberapa lokasi pagar elektrik tersebut bocor dan menyebabkan haiwan itu memasuki kawasan penduduk.

“Ini merupakan kejadian ketiga pada tahun ini, dan saya berharap pihak Jabatan Perlin­dungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil langkah segera bagi mengelakkan pekara tidak diingini berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Mohammad Khairi Ahmad berkata, pihaknya telah ke lokasi kejadian untuk melihat keadaan kemusnahan dan mengesan gajah tersebut.

“Kita akan memantau kawasan ini bagi mengelakkan gangguan gajah dan saya berharap penduduk tidak mengambil tindakan sendiri kerana akan membahayakan keselamatan mereka.

“Sila buat aduan kepada kita secepat mungkin sekiranya kejadian seperti ini berulang lagi atau terserempak dengan haiwan liar ini,” katanya.