Isteri Samsul, Rohana Yaacob, 46, adalah ustazah Kelas Al-Quran dan Fadhu Ain (KAFA). Dia menerima elaun sebanyak RM900 sebulan. Untuk menampung kehidupan, pada hari Rabu, Khamis, Jumaat dan Sabtu yakni hari tiada kelas KAFA, Rohana akan berjualan nasi lemak kecil-kecil dihadapan rumahnya di Ayer Lanas di sini pada waktu petang.

Hanya elaun dan jualan kecil-kecilan Rohana itu menampung keperluan mereka sekeluarga untuk hidup dan belajar. Rumah keluarga ini agak daif, dinding dan lantai kayu sudah mula mereput, serta zink yang ditembusi cahaya-cahaya kecil.

Semalam, Rohana mengesat air matanya ketika menerima kunjungan wakil Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) bersama Royal Guest House Hotel (RGH); Kelantan Creative TV (KCTV) dan Nothing To Hide Media (NTHM) yang berkolobrasi mengadakan program Kita Kongsi di rumahnya kerana rasa terharu. Ini merupakan tahun pertama mereka beraya tanpa orang tersayang.

Dalam kunjungan tersebut, Presiden Kemudi, Azran Fitri Rahim menyerahkan wang tunai sebanyak RM1,000 sumbangan daripada pengamal-pengamal media di negeri ini manakala Ketua Pegawai Eksekutif RGH, Raja Rusmin Raja Mahmud menyampaikan pek makanan berbuka puasa manakala wakil ‘Nothing to Hide Media’, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad memberikan bekalan bahan makanan asas.

Sementara itu, Azran Fitri berkata, rumah keluarga allahyarham Samsul Bahri merupakan yang pertama dikunjungi untuk program Kita Kongsi pada tahun ini.

“Kami memilih rumah Allahyarham untuk memulakan program ini kerana Allahyarham adalah sebahagian daripada pengamal media dan kebajikan keluarganya perlu dibela oleh kami, ahli-ahli Kemudi. Rumahnya agak daif dan memerlukan bantuan.

“Selepas itu, kami turut mengunjungi tiga keluarga lagi yang hidup dalam serba kekurangan di kawasan ini untuk menyampaikan wang tunai, pek makanan berbuka danbahan makanan asas,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, pihaknya amat mengalu-alukan mana-mana pihak untuk bersama-sama berkongsi nikmat dengan golongan memerlukan sepanjangan Ramadan ini .

Untuk maklumat lanjut boleh hubungi, Setiausaha Kemudi, Rosmiza Kassim +60128488301 atau menyalurkan terus sumbangan ke akaun RHB Bank, Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) 25301600016474.

Untuk rekod, Shamsul Bahri, 46, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selepas 12 jam koma akibat kecederaan parah apabila digilis sebuah kereta dalam kemalangan di Kampung Gemang, Jalan Kota Bharu - Machang - Grik. Allahyarham merupakan wartawasan sambilan daerah Jeli. - UTUSAN ONLINE