Pengarah program berkenaan, Syaheerah Mustafa berkata, program julung kali diadakan itu melibatkan penyertaan seramai 30 pengamal media daripada pelbagai agensi.

“Pertandingan yang berlangsung selama tiga bulan bermula pertengahan Julai lalu dan berakhir Oktober ini mempunyai objektif utama untuk menerapkan gaya hidup sihat dalam kalangan wartawan di negeri ini.

“Melalui program ini, peserta perlu mengikuti kelas senaman dua kali seminggu di Bard Gym yang mana terdapat juga kelas mempertahankan diri iaitu aktiviti sukan Muay Thai yang diajar oleh tenaga pengajar profesional,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Kemudi’s Biggest Loser yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Roslan Hamat di Dewan Jahar, Royal Guest House, di sini, semalam.

Yang turut hadir ialah Pengarah Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya negeri, Mohd. Adil Afizie Daud dan Presiden Kemudi, Azran Fitri Abdul Rahim.

Dalam pada itu, Syaheerah berkata, program itu menawarkan hadiah wang tunai RM1,000 kepada pemenang dan pihaknya mengalu-alukan sebarang tajaan daripada pihak korporat bagi menjayakan aktiviti berkenaan. -UTUSAN ONLINE