Kempen tersebut yang memasuki edisi kedua bertemakan 'Bandar Raya Islam Bandar Selamat, Cegah Jenayah Jauhi Dadah, Komuniti Hebat' dan pelancarannya disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Abdul Rahman Yunos.

Abdul Rahman berkata, kempen itu dibuat bagi membangkitkan kesedaran orang ramai bagi membantu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan polis membanteras masalah itu.

Dalam masa sama kata­nya, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan terus memainkan peranan termasuk mengadakan kempen ke­sedaran dari semasa ke semasa.

“Kempen amalan gaya hidup sihat akan diteruskan. Kempen antidadah dan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa untuk menangani kes-kes berkaitan juga diteruskan. Kurangnya kes dadah, maka akan kuranglah kes jenayah,” katanya di sini baru-baru ini.

Kempen itu dimeriahkan dengan Larian Bandar Selamat secara santai sejauh lima kilo­meter yang disertai seramai 3,500 peserta terdiri daripada orang awam, kakitangan kerajaan dan swasta serta badan bukan kerajaan (NGO).

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, suasana yang selamat secara tidak langsung menarik kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa, sekali gus menjadikan kempen Tahun Melawat Kota Bharu 2018 lebih berjaya.

Sementara itu, Pengarah AADK negeri, Rohayu Ahmad berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama PBT dan agensi lain dalam membersihkan 'port' atau lokasi penagihan dadah dalam kawasan seliaan masing-masing.

“Ops Sarang, Program Pendidikan Antidadah dan Program My Beautiful Malaysia digerakkan oleh kita setakat ini mendapat sokongan semua pihak dan berjaya memberi impak positif bagi menangani penyakit sosial yang berlaku.

“Sebenarnya, kes pecah ru­mah, ragut dan lain-lain jenayah dapat dikurangkan sekiranya permasalahan dadah diatasi,” katanya.